
MELAKA SASAR 200,000 PELANCONG ‘CRUISE’ TAHUN DEPAN
SERI NEGERI 8 Disember – Melaka menyasarkan kedatangan 200,000 pelancong dari jalan laut iaitu menerusi persinggahan kapal persiaran antarabangsa pada tahun depan.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, jumlah itu ditetapkan memandangkan negeri ini dan negara bakal menyambut Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia (VM 2026).
“Insya-Allah sasaran ini dapat direalisasikan menerusi promosi yang dilakukan bukan sahaja dalam negara, bahkan di peringkat antarabangsa.
“Dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Malaysia, selain syarikat-syarikat kapal persiaran, kita yakin sasaran ini mampu dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Menurut Abdul Razak, sepanjang November 2024 hingga Oktober tahun ini, sejumlah 14,218 pelancong kapal persiaran telah direkodkan mendarat di Kompleks ICQS, Kota Laksamana.
Daripada jumlah itu, jelas beliau, April, Julai dan September 2025 merekodkan jumlah tertinggi iaitu masing-masing merekodkan lebih 15,000 pelancong kapal persiaran yang mendarat dan melancong di Melaka.
“Jumlah ini diterima menerusi ketibaan kapal cruise dari Genting Dream Cruise, Seven Sea Voyager Cruise, Riviera Cruise, Star Voyager Cruise, Regatta Cruise dan Nautica Cruise sejak Nobember 2024,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


