Sorting by

×

MELAKA SASAR 319 SEKOLAH DIIKTIRAF SEKOLAH INSPIRASI

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PANTAI KUNDOR 13 Januari – Jabatan Pendidikan Negeri Melaka menyasarkan kesemua 319 buah sekolah di negeri ini akan mendapat pengiktirafan Sekolah Inspirasi.

Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor berkata, sasaran itu ditetapkan bertujuan meningkatkan lagi kecemerlangan pengurusan sekolah dan kemenjadian pelajar di negeri ini.

Menurut beliau, pada 2023 hanya sebuah sekolah di negeri ini mendapat pengiktirafan Sekolah Inspirasi, namun jumlah itu melonjak kepada 118 buah sekolah pada tahun 2024.

Jelas beliau, kejayaan itu bertitik tolak daripada sinergi padu di antara jabatan pendidikan bersama Kerajaan Negeri, khususnya Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang banyak membantu meningkatkan motivasi pelajar dan sekolah.

“Dengan adanya kerjasama baik di antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Pendidikan selain sinergi bersama pemegang taruh pendidikan, ia secara tidak langsung membantu kejayaan sektor pendidikan di Melaka.

“Malah, kita juga mempunyai Ketua Menteri yang sangat cakna dan sentiasa membantu meningkatkan kemenjadian murid menerusi bantuan dalam sudut dana, sehinggalah program-program yang berjaya meningkatkan motivasi warga sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri pada Lawatan Rasmi Hari Pertama Sesi Persekolahan dan Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Gelam, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta lain-lain kenamaan.

Jelas Mahfudzah, Sekolah Inspirasi merupakan pengiktirafan kepada sekolah cemerlang di mana ia merangkumi kekuatan dan pengurusan sesebuah sekolah, baik dari segi warga pendidik, mahupun pelajar.

Beliau turut memaklumkan kejayaan Melaka yang tidak lagi memiliki Sekolah Fokus, iaitu sekolah yang memerlukan tumpuan, perhatian dan sokongan bagi meningkatkan prestasi pendidikan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

490
Kongsi :
Previous post MENARA TAMING SARI BAWA KECERIAAN UNTUK MURID SK TELOK MAS
Next post TINGKAT TAHAP KESELAMATAN BANDARAYA, MBMB TAMBAH LEBIH 20 CCTV