
MELAKA SASAR KADAR PEMILIKAN RUMAH MENINGKAT 88 PERATUS MENJELANG 2030
PAYA RUMPUT 14 Februari – Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan agenda pemilikan rumah rakyat sebagai keutamaan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri mensasarkan kadar pemilikan rumah meningkat kepada 88 peratus menjelang tahun 2030.
Katanya, untuk mencapai sasaran ini, sekurang-kurangnya 4,191 unit rumah perlu dibina setiap tahun secara konsisten.
“Sehingga 31Januari 2026, sebanyak 61,874 unit Rumah Mampu Milik telah dirancang di seluruh negeri. Daripada jumlah itu 20,541 unit telah siap, 18,560 unit sedang dibina dan baki  22,773 unit dalam perancangan.
“Ini menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri bukan sekadar janji, keperluan Perumahan di negeri ini bagi tempoh 10 tahun iaitu dari 2020 hingga 2030 mengambil kira unjuran pertumbuhan penduduk, bilangan isi rumah, stok kediaman semasa dan peratusan pemilikan rumah,” kata Ketua Menteri
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Scientex Melaka, Mukim Paya Rumput di Pejabat Jualan Scientex Heights Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim, Saliran dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem serta Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin.
Yang turut hadir Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Datuk TPr. Murad Husin, Pengarah Scientex Heights Sdn Bhd Melaka, Datuk Alex Khaw; Pengarah Projek Scientex Heights Sdn Bhd
Melaka, Datuk Lim Man Wang dan Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Ngoh Chun How.
Ab Rauf berkata, paling utama, melalui LPM Kerajaan Negeri menetapkan dasar bahawa setiap pembangunan melebihi empat hektar wajib memperuntukkan sekurang-kurangnya 50 peratus komponen Rumah
Mampu Milik.
Jelas beliau usaha ini adalah untuk memastikan semua golongan tidak terpinggir daripada memiliki kediaman
sendiri.
“Hakikatnya, melalui pembentangan Bajet Negeri Melaka 2026 baru-baru ini, pelbagai inisiatif berkaitan pemilikan rumah telah saya umumkan. Sebagai contoh, melalui Melaka Finance House (MFH), akses pinjaman turut diperkukuh supaya lebih ramai rakyat termasuk golongan OKU berpeluang memiliki rumah sendiri.
“Dalam konteks ini, kita tidak mahu hanya membina rumah. Kita mahu membina keyakinan. Kita mahu membina kestabilan sosial dan paling penting…Kita mahu membina masa depan Melaka,” katanya.
Terima kasih.Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


