Sorting by

×

MELAKA SASAR PENYERTAAN OKU DALAM PIDATO RUKUN NEGARA 2026

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BANDARAYA MELAKA 27 Januari – Melaka menyasarkan penyertaan lebih inklusif termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) dalam Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan bermula tahun 2026.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran pertandingan itu akan diperkasakan supaya menjadi platform yang memberi ruang kepada penyertaan pelbagai kaum, latar belakang serta keupayaan bagi melahirkan generasi muda petah berbicara, berintegriti serta memiliki nilai moral yang kukuh.

“Pendekatan inklusif itu sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan pertandingan pidato sebagai medan yang membuktikan bahawa perpaduan bukan sekadar dilaungkan, sebaliknya diraikan melalui tindakan dan pencapaian sebenar.

“Kita mahu mendengar suara daripada pelbagai latar belakang dan keupayaan, termasuk OKU, bergema di pentas pertandingan ini sebagai simbol bahawa di Melaka, perpaduan diraikan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Sempena Penghargaan Jawatankuasa Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dengan diiringi Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Tun Perak (ITP) Prof. Madya Dr. Ainuddin Iskandar Lee Abdullah serta kenamaan lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut menyifatkan penyertaan seramai 9,321 peserta pada edisi 2025 sebagai satu pencapaian membanggakan dan rekod tertinggi sepanjang enam edisi penganjuran pertandingan itu.

“Angka ini bukan sekadar statistik, sebaliknya manifestasi jelas bahawa generasi muda hari ini berminat serta memerlukan platform seumpama ini untuk menonjolkan bakat dan menzahirkan kecintaan mereka kepada negara secara kreatif dan berkeyakinan,” katanya.

EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman menyampaikan cederahati kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam pada Majlis Hi-Tea Sempena Penghargaan Jawatankuasa Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka 2025. Foto Iqmal Haqim Rosman

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

424
Kongsi :
Previous post KOMITMEN MELAKA ANJUR PIDATO RUKUN NEGARA TERIMA PENGIKTIRAFAN