
MELAKA SASAR PINGAT DALAM EMPAT ACARA WAJIB DI SUKMA 2026
AYER KEROH 20 Oktober – Kerajaan Negeri menyasarkan pungutan pingat dalam empat acara utama iaitu wushu, muaythai, olahraga dan renang pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata, fokus diberikan kepada sukan yang menawarkan banyak pingat dengan komitmen tinggi daripada persatuan sukan di negeri ini.
“Acara tumpuan kita adalah wushu, muaythai, olahraga dan renang kerana ia menawarkan banyak pingat.
“Bola sepak dan hoki juga menunjukkan pencapaian membanggakan, tetapi kita mahu pastikan sasaran pingat dapat dicapai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Deepavali di kediamannya di Batu Berendam, di sini, hari ini.
Menurutnya, senarai panjang atlet dan jurulatih sepenuh masa telah disiapkan dan latihan berpusat dijangka bermula dalam tempoh tiga bulan terdekat.
“Kita akan finalkan lebih kurang 600 atlet sebelum SUKMA 2026. Buat masa ini semua latihan dikendalikan oleh persatuan masing-masing sebelum fasa latihan berpusat dimulakan,” katanya.
Katanya lagi, tiada acara baharu diperkenalkan kecuali sukan silambam yang kini diiktiraf sebagai acara wajib selepas permintaan daripada beberapa negeri.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju untuk memasukkan silambam sebagai salah satu acara wajib. Ini memberi peluang lebih luas kepada atlet Melaka untuk menyertai sukan berkenaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.