
MELAKA SASAR TAMBAH MENARA TELEKOMUNIKASI BAHARU TAHUN INI
BANDARAYA MELAKA 3 April – Kerajaan Negeri menyasarkan penambahan beberapa lagi menara telekomunikasi baharu sepanjang 2026 dalam usaha berterusan untuk memperluas dan menambah baik liputan internet khususnya di lokasi masih berdepan isu capaian.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, setakat awal April sebanyak tujuh menara telekomunikasi berjaya disiapkan sebelum sambutan Aidilfitri, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk.
“Sudah pasti pada tahun ini akan ada lagi penambahan menara telekomunikasi baharu di beberapa kawasan lagi.
“Namun begitu ia mengambil kita beberapa perkara antaranya yang pertama peruntukan, kelulusan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan ketiga bergantung kepada aduan diterima.
“Contoh, kita ada menerima aduan daripada sebuah universiti di Taboh Naning yang melibatkan kira-kira 3,000 pelajar kerap menghadapi masalah komunikasi,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata demikian pada sidang media selepas bersiaran langsung di MelakaFM bagi mempromosikan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat, semalam.
Fairul Nizam berkata, susulan aduan diterima pihak MCMC telah menjalankan lawatan tapak bagi membolehkan tindakan susulan dilaksanakan bagi penyelesaian.
“Malah perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) untuk tindakan seterusnya bagi pembinaan cadangan menara telekomunikasi baharu.
“Kita jangkakan perkara ini akan dapat diselesaikan seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini di Ayer Molek,” katanya.
Jelas beliau, namun pembinaan menara telekomunikasi baharu itu kelak dilaksanakan secara komersial tidak menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) seperti sebelum ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


