
MELAKA SEDIA 4 INISIATIF MESRA PERUMAHAN
SERI NEGERI 5 Disember – Kerajaan Negeri memperkenalkan empat inisiatif utama bagi memperkukuh agenda perumahan rakyat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu terangkum di bawah Skim MESRA Perumahan bagi memastikan keperluan rakyat terus dipelihara.
Menurut beliau, inisiatif pertama adalah menerusi program Melaka Rumahku, iaitu Skim Bantuan Pembinaan Rumah Baharu secara percuma, yang akan diteruskan dengan peruntukan khas RM3 juta pada tahun 2026.
Jelas beliau, sehingga kini, sebanyak 50 unit rumah telah siap, dua dalam pembinaan dan tujuh lagi masih dalam peringkat saringan.
“Inisiatif kedua adalah program Rumah Transit DUN untuk membantu rakyat terkesan bencana atau kecemasan. Setakat ini, sembilan unit telah siap dan pada tahun depan, kita rancang menubuhkan tiga lagi rumah transit, antaranya di DUN Ayer Molek, manakala dua unit dalam proses pemilihan tapak,” katanya ketika berucap membentangkan Bajet Negeri Melaka 2026 yang bertemakan ‘Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat’ di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Ketua Menteri berkata, melalui Dana Hartanah Bumiputera Negeri Melaka, kerajaan turut menawarkan pinjaman Rumah Pertama sehingga RM80,000 bagi pembelian atau pembinaan rumah pertama untuk tempoh 20 tahun dengan kadar faedah 4 peratus setahun.
Selain itu, ujar beliau, Pinjaman Pendahuluan Deposit Pembelian Rumah sebanyak 10 peratus daripada harga rumah turut diperkenalkan dengan pinjaman maksimum RM18,000 bagi rumah berharga sehingga RM180,000.
“Pinjaman pendahuluan ini hanya mengenakan kadar faedah 3 peratus setahun untuk tempoh tiga tahun,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


