Sorting by

×

MELAKA SEDIA DEKATKAN UNIT BERUNIFORM DENGAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KLEBANG 25 Januari – Kerajaan Melaka sentiasa terbuka menjalin kolaborasi dengan pelbagai unit beruniform di negara ini dalam menganjurkan pelbagai program berbentuk karnival.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, kesediaan itu telah dizahirkan menerusi beberapa program bersama warga tentera yang dianjurkan sebelum ini.

Justeru, beliau berkata, kerjasama itu akan terus diperluaskan bersama unit beruniform lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain lagi.

“Di bawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, kita dapat melihat bahawa hubungan di antara Kerajaan Negeri bersama pelbagai unit beruniform sentiasa erat.

“Oleh sebab itu, kita sangat mengalu-alukan dan terbuka untuk menjalin sebarang bentuk kerjasama bersama unit beruniform yang ada di negara ini, sama ada dalam bentuk penganjuran program, mahupun bantuan.

“Ini telah dibuktikan dengan program bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selain kita juga turut bersama Rejimen 514 Askar Wataniah yang telah diadakan awal tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mewakili Ketua Menteri menyempurnakan Majlis Upacara Penutup Kursus Asas Komando Siri AK3/2025 di Persiaran Encore Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) Mejar Jeneral Datuk Ahmad Shuhaimi Mat Wajab; Ketua Staf 21 GGK Brigedier Jeneral Mohd Musyadi Abdul Mutalib; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Rais turut merakamkan ucapan penghargaan kepada 21 GGK kerana telah memilih Melaka sebagai tuan rumah Kursus Asas Komando Siri AK3/2025 yang diadakan bersekali dengan Karnival Tentera Bersama Rakyat dengan kerjasama MBMB.

Menurut beliau, sepanjang lima hari penganjuran program tersebut, pelbagai pengisian telah disediakan dalam mendekatkan lagi anggota tentera bersama rakyat.

“Antara program yang mendapat sambutan adalah seperti ‘Boat Ride’ secara percuma, pameran kepakaran pasukan khusus, demonstrasi menyelamat tawanan perang serta pameran Aset Tentera Darat Malaysia yang dibawa khas untuk tontonan orang ramai.

“Ini sekali gus membolehkan rakyat mendekati serta merasai sendiri pengalaman bersama pasukan keselamatan negara,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

549
Kongsi :
Previous post MELAKA ANGKAT KEHEBATAN TENTERA, MEDAN SEMAI SEMANGAT PATRIOTIK
Next post 50 PEGAWAI DAN ANGGOTA DIANUGERAHKAN BERET HIJAU, BERJAYA TAMAT KURSUS ASAS KOMANDO