
MELAKA SEDIA LEBIH 220 PROGRAM PELANCONGAN MENARIK SEPANJANG 2026
BANDA HILIR 7 Disember – Kerajaan Negeri akan menggerakkan sebanyak 220 program pelancongan sepanjang tahun 2026 sebagai suntikan besar kepada ekonomi negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia sekali gus menyokong pelaksanaan Tahun Melawat Melaka 2.0 yang akan dilancarkan hujung bulan ini di Encore Melaka.
Beliau berkata, program-program yang dirangka itu merangkumi pelbagai aktiviti berskala kecil hingga mega bertujuan memastikan Melaka terus ‘mendunia’ dan menjadi destinasi pilihan pelancong.
“Tahun depan kita ada 220 program untuk kita gerakkan sebagai suntikan ekonomi pelancongan Negeri Melaka. Semua ini untuk menjadikan Melaka lokasi tumpuan dunia,” katanya ketika berucap pada Program Neon Walk 5.0 Sempena Melaka Bila Larut Malam Edisi Disember 2025 di perkarangan Stadthuys, di sini, malam tadi.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan lain-lain kenamaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, Melaka kini menerima kehadiran kapal pesiaran terbesar dunia hampir setiap hari dengan antara 4,000 hingga 5,000 pelancong berlabuh dari pagi hingga malam, sekali gus memberi impak langsung kepada sektor pelancongan tempatan.
“Mereka (pelancong kapal persiaran) juga akan diberikan peluang menikmati produk pelancongan secara percuma dengan mempromosi pakaian-pakaian tradisional kita,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


