
MELAKA SEDIA RUMAH TRANSIT UNTUK KELUARGA MANGSA KEBAKARAN PPR PAYA RUMPUT
PAYA RUMPUT 16 Mei – Kerajaan Negeri menyediakan rumah transit sebagai penempatan sementara untuk keluarga yang terlibat dalam kebakaran sehingga meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun di Blok A, Program Perumahan Rakyat (PPR) Paya Rumput, Krubong, di sini, hari ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, rumah transit itu terletak di PPR yang sama, dan kini proses pemindahan keluarga sedang dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak pihak termasuk Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan pemimpin setempat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput menyifatkan tragedi itu sebagai sesuatu yang tragis dan menyedihkan, namun sebagai wakil rakyat pihaknya sedia untuk menghulurkan bantuan bagi meringankan beban ditanggung keluarga mangsa.
“Insya-Allah selain rumah transit, pengurusan jenazah juga akan ditanggung Japerun Paya Rumput dan pada masa sama, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tampoi akan turut menganjurkan tahlil untuk arwah,” katanya ketika ditemui selepas melawat ke lokasi kejadian, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif LPM TPr. Murad Husin.
Rais turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak, khususnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Polis Diraja Malaysia (PDRM), semua agensi terlibat serta penduduk di PPR berkenaan yang bersama-sama membantu mengawal kebakaran daripada terus merebak lebih serius.
Dalam pada itu, beliau meminta kepada semua ibu bapa agar mengambil iktibar daripada kejadian tersebut dan sentiasa memastikan keselamatan anak-anak meskipun ketika berada di dalam rumah.
Sebelum ini, media melaporkan, Muhammad Afizul Hakim Alias, 4, ditemui meninggal dunia dalam kebakaran yang berlaku di Bangunan Blok A, Tingkat 6, PPR Paya Rumput kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.