
MELAKA SEJAHTERAKAN HIDUP RAKYAT, KEBAJIKAN LEBIH 100,000 GOLONGAN MEMERLUKAN TERBELA
BANDARAYA MELAKA 31 Mac – Mensejahterakan hidup rakyat Melaka menjadi antara pencapaian utama pentadbiran Kerajaan Negeri dalam tempoh tiga tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelbagai inisiatif telah dilakukan bagi memastikan kehidupan rakyat di negeri ini menjadi lebih baik, termasuklah mengekalkan status sifar miskin tegar.
Selain itu, ujar beliau, sepanjang tiga tahun ini juga, sebanyak RM419.1 juta telah diperuntukkan bagi pelbagai inisiatif kebajikan yang memberi manfaat kepada lebih 100,000 rakyat Melaka.
“Ini termasuklah sumbangan lampin sebanyak 257,000 unit dengan peruntukan berjumlah RM4.9 juta yang memberi manfaat kepada 10,000 penerima.
“Manakala sumbangan susu pesakit terlantar pula membabitkan lebih 50,000 tin dengan peruntukan sebanyak RM4 juta kepada 1,240 penerima,” katanya bersiaran secara langsung di MelakaFM menerusi segmen ‘Dak Rauf Masuk Konti’ Sempena 3 Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka.
Selain golongan memerlukan, Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri turut cakna kepada anak muda dan belia di negeri ini dengan memperuntukkan hampir RM70 juta.
Jelas beliau, peruntukan itu disalur bagi tujuan memperkasa fasiliti sukan, program pembangunan belia, bantuan khas mahasiswa serta pelbagai inisiatif lain demi kesejahteraan anak-anak belia Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


