Sorting by

×

MELAKA SELESAI LEBIH 16,000 ADUAN DALAM SISPAA

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 19 Januari – Melaka berjaya menyelesaikan 92 peratus atau bersamaan 16,039 aduan dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Negeri Melaka sepanjang tahun lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, secara keseluruhan, sebanyak 17,393 aduan awam telah diterima sepanjang 2025, di mana kini hanya berbaki 1,354 aduan masih dalam tindakan dan dipantau secara berterusan oleh agensi yang berkaitan.

Ujar beliau, ia sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri yang sentiasa responsif dan cakna kepada setiap aduan rakyat.

“Namun begitu, saya tidak mahu fokus ini hanya tertumpu kepada aduan di SISPAA sahaja, sebaliknya semua jabatan dan agensi mesti peka, bertindak segera dan responsif terhadap semua platform interaksi dengan rakyat.

“Jika boleh, hari ini aduan diterima, hari ini juga mesti beri maklum balas kepada rakyat. Jangan sehingga ada aduan yang sama diterima untuk kali kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 YAB Ketua Menteri bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuh Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut meminta seluruh penjawat awam di negeri ini memperkasa komunikasi total, seperti mana yang disebut oleh Ketua Setiausaha Negara.

“Saya juga mahu Bahagian Komunikasi Korporat (BKK) menjadi penyelaras utama memantau aduan awam serta isu-isu yang tular di peringkat awal sebelum ia menjadi krisis yang boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan negeri.

“Selain itu, saya mahu segala permasalahan di kampung-kampung, taman-taman perumahan serta kawasan bandar diselesaikan secara tuntas dalam tahun 2026.

“Saya juga menuntut semua agensi kerajaan dan GLC untuk menggerakkan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) secara lebih proaktif sebagai sokongan kepada usaha Kerajaan Negeri dalam mensejahterakan rakyat,” tambahnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

295
Kongsi :
Previous post KUTIPAN HASIL MELAKA MENINGKAT RM548.73 JUTA
Next post PELANCONGAN MELAKA JANA RM14 BILION