Sorting by

×

MELAKA SERIUS ASPEK KEBERSIHAN MAKANAN

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 23 September – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka melaksanakan pemeriksaan berterusan terhadap premis menjual makanan dan dapur hotel bagi memastikan keselamatan serta kualiti hidangan disediakan terjamin.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pemeriksaan dilaksanakan oleh pegawai Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) itu penting terutamanya bagi mencegah insiden keracunan makanan.

Mengulas lanjut Hee Sem yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya berkata, langkah berterusan itu juga bertujuan memastikan pengendali makanan mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan.

“Pemeriksaan turut melibatkan kantin dan mereka terbabit dalam aktiviti penyediaan makanan secara ‘home-based’. Jika didapati premis berkenaan kotor atau mengabaikan aspek kebersihan, tindakan kompaun atau notis penutupan akan diambil.

“Sebagai negeri pelancongan kita mahu makanan yang ditawarkan kepada pengunjung atau pelawat terjamin daripada aspek kebersihan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025 Anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Melaka di Auditorium Kompleks CMI, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Siti Faizah Datuk Abdul Azis dan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Ruzita Mustaffa.

Menurut Hee Sem, setakat September Jabatan Kesihatan Negeri Melaka merekodkan empat kes keracunan makanan berbanding 12 dilaporkan sepanjang tahun lalu.

“Penurunan jumlah kes adalah hasil inisiatif dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka termasuk aktiviti kesedaran dan hebahan maklumat.

“Setakat September juga hanya tiga premis diarah tutup selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihan premis terbabit tidak memuaskan,” katanya.

Terdahulu, pada majlis sama seramai 65 pengusaha makanan di negeri ini telah dianugerahkan Pengiktarafan dan Pensijilan di bawah Program Keselamatan Dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

338
Kongsi :
Previous post ANAK MUDA KAGUM KEHEBATAN PANGLIMA AWANG
Next post TIGA BAS PERANTARA UNTUK KEMUDAHAH PENGUNJUNG WTD, WTC 2025