Sorting by

×

MELAKA SERLAH NILAI TERSEMBUNYI SEKTOR PELANCONGAN

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KLEBANG 1 Januari – Melaka membuktikan sektor pelancongan berupaya membawa pulangan ekonomi yang baik, bukan sahaja untuk negeri, malah tempiasnya turut dirasai rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, meskipun pelancongan merupakan sektor ekonomi yang baik, namun ia seolah-olah tersembunyi dan ramai yang tidak dapat melihat nilai sebenarnya.

Bagaimanapun, di bawah pentadbiran beliau, sektor itu kini menyerlahkan sisi-sisi positifnya apabila terus berkembang sehingga impaknya dirasai secara menyeluruh.

“Limpahan ekonomi ini dapat dirasai rakyat dan semua pemain industri dalam pelbagai sudut secara langsung, di mana mereka dapat berniaga, hotel dipenuhi tempahan dan kedai-kedai cenderamata turut mendapat hasil jualan yang baik.

“Jadi, pelancongan ini merupakan program ekonomi untuk rakyat yang mungkin tidak ramai dapat melihat nilainya, namun tidak untuk Melaka.

“Di negeri ini, kita telah melihat kebanjiran pelancong yang datang berjaya memberi limpahan ekonomi kepada rakyat, peniaga dan seluruh pemain industri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas di Encore Melaka, di sini, malam tadi.

Majlis penuh warna-warni itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman.

Yang turut hadir, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, sepanjang 2026, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada aspek seni, warisan dan budaya untuk menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara.

Jelas beliau, usaha itu dizahirkan menerusi beberapa inisiatif baharu, antaranya tawaran masuk percuma ke produk pelancongan terpilih bersempena edisi Melaka Bila Larut Malam, dengan syarat pengunjung perlu memperagakan busana tradisional atau pakaian etnik di negara ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

351
Kongsi :
Previous post MELAKA BUKA DIMENSI BAHARU PELANCONGAN 2026
Next post SITI NURHALIZA HARGAI PENGIKTIRAFAN MELAKA