Sorting by

×

MELAKA SIAPKAN LIMA JALAN BAHARU SEPANJANG TIGA TAHUN UNTUK KESELESAAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

RIM 13 Februari – Kerajaan Negeri berjaya melaksanakan lebih lima projek jalan baharu dalam tempoh tiga tahun khususnya melibatkan laluan menghubungkan kawasan luar bandar bagi memastikan sistem jalan raya lebih selamat dan terancang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Kerajaan Negeri juga telah merancang lebih 20 projek jalan baharu serta menaik taraf jalan luar bandar bagi merapatkan jurang antara bandar dan desa.

“Alhamdulillah, sepanjang hampir tiga tahun pentadbiran saya, lebih lima projek jalan baharu khususnya di kawasan luar bandar berjaya dilaksanakan.

“Insya-Allah dalam masa akan datang akan ada lagi projek-projek lain disenaraikan, kita akan berusaha untuk mempercepatkan pelaksanaannya pada tahun ini,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Projek Membina Jalan Baharu Dari Persimpangan Rim ke Persimpangan Kampung Ulu Jasin di Perkarangan Tapak Projek Persimpangan Kerayong, Daerah Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mtyheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta kenamaan lain.

Menurut Ab Rauf, melalui Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Kerajaan Negeri telah mengangkat permohonan bernilai RM1.086 bilion bagi 11 projek jalan baharu di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Antara projek yang dirancang termasuk naik taraf Jalan Pantai Siring, Mukim Serkam, Jalan baharu Kampung Seri Mendapat ke Tangkak, Jalan baharu dari Halal Hub ke Kawasan Perindustrian Merlimau, jalan baharu Paya Dalam-Bukit Lintang ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pernu dan Jalan baharu Masjid Tanah ke Kampung Ayer Hitam Darat.

“Semua usaha ini adalah bagi memastikan generasi akan datang mewarisi sistem jalan raya yang lebih baik, selamat dan terancang, sekali gus menyokong pembangunan sosio-ekonomi negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

690
Kongsi :
Previous post JALAN BAHARU JIMATKAN MASA PEMANDUAN, RANCAKKAN EKONOMI SETEMPAT