Sorting by

×

MELAKA SIASAT DAKWAAN CAJ PARKIR RM183 DI PASAR BORONG

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

KLEBANG 16 Mac – Kerajaan Negeri mengarahkan siasatan segera dijalankan susulan dakwaan seorang pengguna dikenakan caj parkir sebanyak RM183.38 ketika keluar dari kawasan meletak kenderaan di Pasar Borong Batu Berendam yang tular di media sosial sejak kelmarin.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, beliau telah mendapatkan penjelasan awal daripada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemungkinan berlaku kesilapan pada sistem parkir yang dikendalikan operator di bawah PBT itu.

“Saya sudah semak dengan MPHTJ dan difahamkan kes ini sedang diteliti kerana ada kemungkinan berlaku kesilapan daripada pihak yang menguruskan sistem parkir berkenaan.

“Sekiranya siasatan mendapati ada berlaku kesilapan, bayaran tersebut sudah tentu akan dipulangkan semula kepada individu yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Glam Bazar Aidilfitri Klebang 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Klebang, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Tuminah Kadi@ Mohd Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Rais berkata walaupun kes itu terpencil, Kerajaan Negeri tetap memandang serius perkara tersebut bagi memastikan ia tidak berulang.

Tambahnya, sistem parkir di kawasan di bawah pentadbiran PBT biasanya ditenderkan kepada syarikat pengendali, sekali gus memungkinkan terdapat perbezaan sistem yang digunakan.

“Secara logiknya caj RM183 memang tidak munasabah, jadi kita akan pastikan perkara ini diteliti dan diperbetulkan supaya tidak berulang lagi.

“Perkara ini akan turut dibincangkan dalam mesyuarat pasca Exco bagi melihat kaedah penyelarasan sistem parkir di negeri ini,” katanya.

Kelmarin tular di media sosial perkongsian seorang wanita yang mendakwa dikenakan caj parkir RM183.38 ketika cuba keluar dari kawasan parkir Pasar Borong Melaka pada awal pagi Sabtu lalu.

Memetik perkongsian, individu tersebut menggunakan kad bank milik suaminya untuk membuat pembayaran, namun sistem memaparkan caj RM2.12 sebelum transaksi tersebut menjadi tidak sah.

Wanita itu turut mendakwa beberapa kenderaan lain ketika itu berdepan masalah sama dan memaklumkan kejadian serupa pernah berlaku sebelum ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

419
Kongsi :
Previous post 3 BAZAR AIDILFITRI MELAKA TERIMA KEHADIRAN PENGUNJUNG LUAR BIASA – KM
Next post RUMAH TERBUKA AIDILFITRI MELAKA ACARA TRADISI, LAMBANG SAYANG RAKYAT