
MELAKA SOKONG SEKAT MEDIA SOSIAL ANAK 16 TAHUN KEBAWAH
AYER KEROH 9 Mac – Cadangan untuk menguatkuasakan had umur minimum 16 tahun bagi pembukaan akaun media sosial disambut baik Kerajaan Negeri Melaka.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, langkah itu penting dalam mengurangkan gejala atau rangsangan anasir tidak sihat di platform media sosial yang mudah dipengaruhi anak-anak.
Menurut beliau, di peringkat Kerajaan Negeri, pihaknya bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memainkan peranan dalam sudut kesedaran, termasuk turun ke 320 buah sekolah di seluruh negeri dalam Kempen Internet Selamat.
“Seperti tahun lalu, kita tahu ada kes berlaku di negeri ini membabitkan pelajar akibat rangsangan media sosial. Jadi di peringkat Kerajaan Negeri kita menyambut baik perkara ini.
“Cuma di peringkat negeri, kita berharap ada satu mekanisme terbaik dapat dibuat untuk mengehadkan akses media sosial ini kepada anak-anak berusia 16 tahun dan ke bawah dan saya percaya menerusi sesi libat urus Kementerian Komunikasi dengan penyedia perkhidmatan media sosial, penguatkuasaan ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Walkabout Kempen Internet Selamat 2026 @ Bazar Ramadan Masjid Al-Alami MITC, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Keroh Kerk Chee Yee dan Pengarah MCMC Negeri Melaka Khairol Nizam Mohd Mostar.
Dalam pada itu, Fairul Nizam turut berharap agar ibu bapa dapat memainkan peranan dan bersama-sama membantu kerajaan dalam mencegah pelbagai anasir tidak sihat di platform media sosial.
“Jika kita bersama-sama berperanan dan membantu, saya yakin dan percaya anak-anak berumur bawah 16 tahun ini tidak lagi terjebak dalam apa-apa perkara yang tidak sihat khususnya di platform media sosial,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


