
MELAKA SUDAH SEDIA JADI TUAN RUMAH ACARA PELANCONGAN DUNIA
BANDA HILIR 5 Julai – Melaka telah membuktikan kesediaan menjadi tuan rumah acara pelancongan dunia iaitu Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang akan diadakan pada September depan selepas pra-pelancarannya diluncurkan penuh gilang-gemilang, malam tadi.
Majlis yang diadakan di perkarangan Stadthuys, Banda Hilir itu dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung dan pelancong yang bersama-sama mahu meraikan detik penuh bersejarah yang akan berlangsung di Melaka, tidak lama lagi.
Acara itu juga diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-17 Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia UNESCO dan telah disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad serta duta dan pesuruhjaya tinggi ke Malaysia.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain dif kehormat.
Majlis penuh warna-warni itu dimulakan dengan persembahan pembukaan nyanyian lagu Senandung Anak Melaka dendangan Yasser Fikri yang diiringi penari dan kombo seni World Tourism Melaka (WTM).
Acara kemudiannya diteruskan dengan ucapan Ketua Menteri dan seterusnya ucapan pra-peluncuran yang disampaikan King Sing.
King Sing, Ab Rauf dan kenamaan kemudiannya menyempurnakan gimik pra-peluncuran WTD 2025 sebagai simbolik kesediaan Melaka menyambut delegasi pelancongan dunia yang akan ‘berkampung’ di Melaka bagi membincangkan masa depan industri pelancongan yang bertemakan ‘Pelancongan dan Transformasi Mampan’.
Selain itu, tetamu kehormat iaitu perwakilan asing yang hadir turut menerima cenderahati istimewa berupa konda kondi, iaitu permainan tradisional Negeri Melaka dan jemputan khas ke WTD 2025.
Kenamaan dan pengunjung kemudiannya dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan yang menyerlahkan lagi keunikan seni, budaya dan warisan Negeri Melaka serta Malaysia, amnya, selain persembahan istimewa daripada artis popular tanah air seperti Jaclyn Victor dan Suki Low.
WTD 2025, acara anjuran United Nations World Tourism Organization (UNWTO) bakal berlangsung pada 27 hingga 29 September depan dan dijangka menghimpunkan lebih 3,000 peserta antarabangsa dan tempatan dari 159 negara, termasuk lebih 500 wakil swasta di bawah naungan UNWTO.
Di samping itu, acara itu juga akan menarik lebih 1,000 individu berprofil tinggi dari dalam dan luar negara, terdiri daripada pemimpin pelancongan global, pembuat dasar, ahli akademik serta wakil media antarabangsa yang menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi tempatan menerusi pelancongan antarabangsa.
Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah WTD 2025 merupakan satu pengiktirafan besar terhadap kedudukan strategik negeri ini dalam landskap pelancongan global, sekali gus memperkukuh reputasinya sebagai destinasi pelancongan utama serantau yang kaya dengan sejarah dan warisan budaya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.