
MELAKA SUMBANG 76 EKOR LEMBU KORBAN SEMPENA AIDILADHA
SERI BENDAHARA 5 Jun – Kerajaan Negeri menyumbangkan 76 ekor lembu kepada 28 agensi bagi memeriahkan lagi ibadah korban di Melaka bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha Sabtu ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri hari ini memaklumkan lembu korban itu akan diagihkan kepada wakil rakyat, penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, masjid, surau serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Melaka.
“Agihan lembu korban ini dilakukan oleh 12 pembekal yang telah dilantik oleh Pejabat Ketua Menteri Melaka, selain dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tiga hari sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Setiap DUN akan menerima seekor lembu (28 ekor), jabatan kerajaan (badan beruniform) (11 ekor), masjid (8 ekor), surau (6 ekor), NGO (8 ekor), Cawangan DUN Tanjung Bidara (13 ekor) dan masing-masing seekor bagi Universiti Islam Melaka (UNIMEL) serta UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya,” kata kenyataan tersebut.
Ab Rauf, dalam kenyataan sama menyatakan sumbangan lembu korban itu adalah sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan rakyat selain mengimarahkan sambutan Hari Raya Aidiladha.
“Usaha ini juga mencerminkan semangat perpaduan dan kesepakatan dalam kalangan masyarakat khususnya di Negeri Melaka,” katanya.
Terdahulu, Ab Rauf menghadiri Majlis Simbolik Penyerahan Lembu Korban kepada penerima sumbangan di kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Bendahara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, Exco Belia, Sukan dan NGO Datuk VP Shanmugam serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.