
MELAKA TAWAR PINJAMAN DEPOSIT 10 PERATUS BELI RUMAH
SERI NEGERI 8 Disember – Rakyat negeri ini yang berhasrat memiliki rumah sendiri bakal mendapat manfaat daripada skim pinjaman pendahuluan deposit pembelian rumah sebanyak 10 peratus menerusi Melaka Finance House (MFH).
Inisiatif itu akan mula dilaksanakan pada tahun hadapan, susulan pengumuman Bajet Negeri Melaka 2026 oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Jumaat.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Wira Rais Yasin berkata, menerusi inisiatif itu, pembeli rumah berharga sehingga RM180,000 layak memohon pembiayaan deposit sehingga RM18,000.
Katanya, pembiayaan itu ditawarkan dengan kadar faedah rendah iaitu tiga peratus, dengan tempoh bayaran balik selama tiga tahun.
“Skim ini memberi tumpuan kepada golongan yang sudah mendapat kelulusan pinjaman perumahan daripada bank namun berdepan kekangan kewangan untuk menyediakan bayaran pendahuluan.
“Antara keutamaan diberikan kepada pembeli rumah pertama, khususnya golongan muda dan keluarga berpendapatan rendah yang ingin memiliki kediaman sendiri dalam kategori rumah mampu milik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Rais berkata, dalam masa sama, MFH turut menyediakan pinjaman sehingga RM80,000 kepada mereka yang ingin membina rumah di atas tanah sendiri, sebagai alternatif kepada pembelian rumah siap.
“Inisiatif ini merupakan antara usaha proaktif Kerajaan Negeri Melaka dalam memperkukuh agenda pemilikan rumah rakyat, selain membantu mengurangkan beban kewangan pembeli pada peringkat awal pembelian.
“Kerajaan negeri mensasarkan sekurang-kurangnya 100 pemohon akan menerima manfaat melalui skim pinjaman deposit ini dalam fasa awal pelaksanaannya,” katanya.
Bagaimanapun, menurut beliau, antara cabaran utama dalam pelaksanaan inisiatif itu ialah isu pemilikan tanah, khususnya membabitkan tanah yang mempunyai ramai penama.
“Situasi ini boleh menjejaskan proses kelulusan kerja baik pulih sekiranya tiada persetujuan penuh daripada semua pemilik.
“Walaupun berdepan kekangan itu, dari sudut peruntukan, Kerajaan Negeri sentiasa bersedia membantu rakyat demi memastikan setiap keluarga dapat menikmati kediaman yang lebih selamat dan selesa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


