
MELAKA TERBUKTI MESRA, SAYANG RAKYAT
REMBIA 9 Februari – Inisiatif pemberian sumbangan setiap kali tiba musim perayaan membuktikan Kerajaan Melaka amat sayang dan cakna terhadap kesukaran dihadapi rakyat khusus golongan B40.
Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid berkata, meskipun nilai sumbangan dihulurkan tidak besar namun apa yang penting adalah senyuman terukir pada raut wajah setiap penerima.
“Sekurang-kurangnya Kerajaan Negeri membantu meringankan beban rakyat dalam melakukan persiapan untuk menyambut Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
“Lebih istimewa sumbangan ini adalah tanda kasih dan sayang serta ingatkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh terhadap rakyat Melaka yang kurang berkemampuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina Tahun 2024 bagi Parlimen Alor Gajah di Japerun Rembia, hari ini.
Hadir sama Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam serta Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil.
Abdul Hakim berkata, agihan sumbangan melibatkan penerima dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Asahan, Machap Jaya, Gadek dan Durian Tunggal.
“Agihan disampaikan kepada 20 penerima bagi setiap DUN dan secara keseluruhan Kerajaan Negeri memperuntukan sebanyak RM10,000 bagi inisiatif ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


