Sorting by

×

MELAKA TERIMA KELULUSAN RM450 JUTA LAKSANA RTB SUNGAI BARU, MASJID TANAH

Masa Membaca:2 Minit, 3 Saat

LENDU 28 Mei – Kerajaan Negeri Melaka menerima kelulusan peruntukan berjumlah RM450 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan Projek Tebatan Banjir (RTB) Sungai Baru, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri berkata, RTB Sungai Baru adalah projek penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan risiko kekerapan banjir dalam Parlimen Masjid Tanah, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu.

Ketua Menteri berkata, projek berkenaan bermula dari Sungai Durian Daun di Pekan Masjid Tanah, hingga ke muara Sungai Baru di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah, sepanjang 15 kilometer.

Katanya, selain melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan bagi melancarkan aliran air, projek itu turut melibatkan komponen pembinaan empat takungan banjir baharu iaitu di Londang, Jeram, Lubok Redan dan Taman Seri Gamelan.

“Permohonan ini adalah menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka, segala perancangan dan kajian juga sudah bemula, jadi saya amat berharap projek ini dapat dilaksanakan seawal tahun hadapan.

“Inisiatif ini adalah antara permasalahan rakyat yang kita cungkil dan cuba selesaikan ketika berlangsungnya Program Wakil  Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) bagi DUN Lendu,” kata Ketua Menteri.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke Projek Tembok Penahan Banjir di Taman Masjid Tanah Ria dan Rumah Pam JPS di Bandar Masjid Tanah bersempena WRUR DUN Lendu, hari ini.

Hadir sama Adun Lendu, merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim dan Pengarah JPS Negeri Melaka, Mohd Adnan Ahmad Fauzi.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatan ke rumah pam dan tembok penahan banjir itu, Ketua Menteri berkata, inisiatif itu adalah antara penyelesaian jangka pendek diusahakan bagi mengurangkan risiko banjir di DUN Lendu menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM3.3 juta.

“Peruntukan itu adalah bagi melaksanakan skop kerja pemasangan pam, pembinaan rumah pam,  pembinaan infrastruktur padat elektrik atau ‘compact sub’ dan kerja-kerja penyelenggaraan sungai.

“Selain itu JPS juga sedang melaksanakan projek pemulihan dua kolam takungan banjir iaitu di Durian Daun dan Solok Duku, alhamdulillah secara keseluruhannya status kemajuan fizikal projek-projek adalah mengikut jadual seperti mana yang telah dijadualkan dan dijangka siap Disember tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1317
Kongsi :
Previous post AB RAUF DUKUNG HASRAT SJKC BERTAM ULU BANGUNKAN KELAS PENDIDIKAN ISLAM
Next post WRUR: 20 PENJAJA DISANTUNI, TERIMA LESEN PERNIAGAAN MBMB