
MELAKA TERIMA KUTIPAN ZAKAT RM112 JUTA
SERI NEGERI 11 Disember – Sejumlah RM112 juta kutipan zakat diterima Kerajaan Negeri melalui Zakat Melaka sejak Januari hingga 30 November tahun ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kutipan itu membabitkan tujuh jenis zakat, di mana Zakat Pendapatan merekodkan kutipan tertinggi iaitu sebanyak RM66.8 juta.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memaklumkan, jumlah itu diikuti Zakat Wang Simpanan sebanyak RM16.6 juta; Zakat Perniagaan (RM19.6 juta); Zakat Emas Perak (RM1.93 juta); Zakat Saham (RM125,436); Zakat Ternakan (RM15,208) dan Zakat Pertanian (RM1,905).
“Zakat Pendapatan menunjukkan jumlah kutipan tertinggi dengan peningkatan 63.44 peratus dan yang terendah adalah Zakat Pertanian dengan 0.04 peratus.
“Bagi Zakat Fitrah pula, kutipan ini telah dibayar daripada 683,982 penduduk di negeri ini dengan nilai kutipan sebanyak RM6.6 juta pada tahun ini dan meningkat sebanyak 7.72 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Oleh Agensi Korporat yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Pejabat Yang di-Pertua Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu serta kenamaan lain.
Menurut Rahmad, pada majlis tersebut sebanyak 23 entiti korporat membabitkan agensi swasta dan Kerajaan Negeri telah melunaskan Zakat Perniagaan dengan nilai sebanyak RM7.4 juta berbanding RM5.6 juta dalam tempoh sama pada tahun lalu.
“Ahamdulillah, Kerajaan Negeri mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua syarikat yang sudi menyumbangkan zakat ini.
“Semua kutipan ini akan diagihkan kepada seluruh asnaf di Melaka membabitkan pelbagai penganjuran program seperti bantuan persekolahan dan sebagainya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


