
MELAKA TERUSKAN PERTANDINGAN MURAL ANTARA SEKOLAH TAHUN DEPAN
AYER KEROH 25 November – Pertandingan Mural ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ akan diteruskan pada tahun hadapan bagi memberi peluang kepada lebih banyak sekolah menyertai dan mengetengahkan kreativiti masing-masing.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, walaupun baru pertama kali dianjurkan, pertandingan itu membawa impak cukup besar kepada sektor pendidikan, khususnya dalam membentuk jati diri pelajar.
“Tahniah saya ucapkan kepada sekolah-sekolah yang berjaya, tetapi sekolah yang tidak berjaya, teruskan lagi usaha Insya-Allah pada tahun depan akan ada lagi pertandingan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Apresiasi Pendidikan Peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Tahun 2025 mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor.
Menurutnya, pertandingan anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka itu disertai 81 sekolah terdiri daripada 43 sekolah rendah dan 38 sekolah menengah.
“Pertandingan ini merupakan cetusan idea Ketua Menteri yang berlangsung dari April hingga Ogos 2025 serta dilaksanakan bersekali dengan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Pada majlis itu, johan kategori sekolah menengah bagi daerah Alor Gajah dimenangi SMK Sultan Alaudin; SMK Selandar (daerah Jasin) dan SMK Telok Mas bagi daerah Melaka Tengah.
Sementara, kategori sekolah rendah pula dimenangi SK Tanjung Bidara (derah Alor Gajah), SK Seri Machap (Jasin) dan SK Paya Rumput (Melaka Tengah).
Kesemua pemenang menerima RM1,000, trofi dan sijil.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

