
MELAKA TERUSKAN TRADISI SAMBUT PESERTA RXZ MEMBERS
DURIAN TUNGGAL 21 November – Sebanyak 1,000 pek makanan percuma disediakan kepada geng motosikal Yamaha RXZ yang akan datang ke Melaka 13 Disember nanti.
Ia bersempena RXZ Members Ride Edition Melaka 2.0 2025 yang berlangsung di Dataran MITC, 12 dan 13 Disember depan.
Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Zahari Abd Kalil berkata, agihan pek makanan itu akan diadakan di Pintu Gerbang Ayer Keroh sebagai menyambut geng RXZ khusus dari luar Melaka.
“Edisi kali ini kita sediakan makanan percuma pada Sabtu (13 November), bagi menghargai geng RXZ yang mana ada dalam kalangan mereka menunggang ratusan kilometer semata-mata mahu datang ke negeri bersejarah ini bagi bersama-sama memeriahkan penganjuran RXZ Members Ride Edition Melaka 2.0 2025.
“Bagi memeriahkan lagi suasana pihak Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan menyediakan platform bergambar di kawasan sama,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal berkata, 100 pemilik motosikal Yamaha RXZ dari Dewan Undangan Negeri (DUN) itu juga akan menyertai RXZ Members Ride Edition Melaka 2.0 2025.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

