Sorting by

×

MELAKA TINGKAT KELANCARAN KESALINGHUBUNGAN DI LOKASI TUMPUAN PELANCONG

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

SERI NEGERI 22 Julai – Tahap kesalinghubungan perkidmatan jalur dan internet di kawasan tumpuan pelancongan sekitar Melaka akan dipertingkatkan lagi menerusi aktiviti audit yang dilaksanakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, hasil dapatan daripada audit dilaksanakan SKMM, syarikat telekomunikasi diwajibkan untuk memberi cadangan penyelesaian jangka pendek dan panjang kepada aduan-aduan diterima.

Fairul Nizam berkata, sementara itu melalui pelaksanaan Program Pemberian Sejagat (USP) oleh SKMM Melaka pula, Melaka ICT Holding Sdn Bhd (MICTH) akan membina lima menara telekomunikasi baharu di kawasan tumpuan pelancong sepanjang tahun ini.

Katanya, antara lokasi dikenal pasti bagi pembinaan menara telekomunikasi baharu adalah di Kampung Kuala Linggi (Kuala Linggi Port), Kampung Paya Lebar/Eco Cruise, Jonker Street, Taman Botanikal Ayer Keroh dan Pulau Besar.

“SKMM juga akan terus mempergiatkan aktiviti audit perkhidmatan jalur lebar bersempena kempen Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025), Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC2025) serta Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Ia bagi memastikan liputan dan kualiti perkhidmatan telekomunikasi mematuhi standard ditetapkan, sekali gus menjamin pengalaman kesalinghubungan yang lancar serta berkualiti tinggi kepada para pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) berkenaan usaha Kerajaan Negeri dalam mempertingkatkan kualiti internet di Melaka pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Menurut Fairul Nizam, walaupun hampir keseluruhan Melaka telah menikmati perkhidmatan jalur lebat, namun Kerajaan Negeri terus cakna terhadap aduan rakyat berkenaan mutu capaian internet yang antaranya berkaitan isu ketidakseragaman kualiti perkhidmatan jalur lebar mudah alih.

“Susulan aduan diterima, sejak 2022 SKMM telah menjalankan aktiviti audit perkhidmatan jalur lebar di 717 lokasi termasuk 25 kawasan tumpuan pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).

“Susulan itu sebanyak 48 Notis Pematuhan beserta 34 Arahan Suruhanjaya telah dikeluarkan kepada syarikat pemberi perkhidmatan untuk lokasi yang tidak mengikut Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan ditetapkan SKMM.

“Menerusi Notis Pematuhan dikeluarkan, syarikat telekomunikasi perlu menyediakan pelan penambahbaikan kualiti perkhidmatan sama ada menaik taraf menara sedia ada atau membina menara baharu bagi menambah baik kualiti jaringan jalur lebar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

407
Kongsi :
Previous post KANAK-KANAK LEMAS DI KOTA SYAHBANDAR MENINGGAL DUNIA
Next post PANTAU TIGA PENYAKIT BERISIKO AKIBAT JEREBU