
MELAKA TITANS SEDIA BERJUANG TANPA AZLAN
TELOK MAS 26 Mei – Ketiadaan apit kanan Melaka Titans, Azlan Alias akibat retak tulang siku tidak merencatkan persiapan kumpulan itu menghadapi saingan Sepak Takraw League (STL) Divisyen 1, musim ini.
Yang Dipertua Persatuan Sepaktakraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, meskipun pemain kebangsaan itu tidak dapat turun untuk beraksi namun kehadirannya dalam skuad itu secara tidak langsung dapat menyuntik semangat kepada rakan pasukan yang lain.
“Keutamaan kita adalah negara, oleh itu pasukan merelakan Azlan untuk direhatkan seketika daripada mewakili Melaka.
“Namun begitu kehadirannya dalam skuad Melaka Titans dapat menyuntik semangat untuk pemain yang lain untuk terus berjuang dan memberikan persembahan terbaik.
“Walau bagaimanapun kita amat berharap kecederaan dihadapi Azlan cepat sembuh dalam masa terdekat sekali gus dapat bersama-sama skuad Melaka Titans,” katanya pada sidang media Majlis Memperkenalkan Pemain Melaka Titans Bagi Kejohanan Liga STL 2025 di Balai Raya Baruh Alai, di sini, semalam.
Menurut Akramuddin, kehadiran Mohammad Syahir Rosdi (tekong), Muhammad Zaim Razali (apit kiri) dan dua pemain import dari Thailand iaitu Yodsanon Laemthaisong (apit kanan) dan Khathadet Srichan (tekong) diyakini dapat membantu Melaka Titans bersaing dalam menempatkan diri sebagai pasukan terbaik Divisyen 1 musim ini.
“Untuk pertandingan ini kita tidak meletakkan sasaran namun apa yang diharapkan adalah kemenangan dari satu perlawanan ke perlawanan lain.
“Kita mahu sasaran yang diletakkan itu menjadi bebanan kepada pemain dan secara tidak langsung dapat mengganggu prestasi, biarlah mereka bermain dalam keadaan tenang,” katanya.
Pada Majlis Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan Mei 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, hari ini, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut membangkitkan semangat skuad Melaka Titans yang akan turun beraksi dalam saingan STL Divisyen 1 di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, Pahang dari 28 Mei hingga 1 Jun ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.