
MELAKA TUAN RUMAH AMMTC KE-19, HIMPUN 300 DELEGASI ASEAN
AYER KEROH 7September -Melaka sekali lagi menjadi perhatian antarabangsa apabila dipilih sebagai tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-19 yang berlangsung dari 8 hingga 12 September ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan penganjuran acara berprestij itu menghimpunkan lebih 300 delegasi antarabangsa melibatkan 10 negara anggota ASEAN.
Menurut Azhar, negara terlibat adalah Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, selain Timor-Leste sebagai pemerhati.
“Rakan dialog ASEAN seperti China, Jepun dan Korea turut serta dalam sesi konsultasi sepanjang mesyuarat lima hari tersebut. Sementara itu majlis perasmian dijadual disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 September ini.
“AMMTC yang diwujudkan sejak 1997 menjadi platform utama negara-negara ASEAN memperkukuh kerjasama memerangi jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan manusia, jenayah siber, keganasan, penyeludupan senjata api, pengubahan wang haram serta penyeludupan migran,” katanya.
Beliau berkata, persiapan kini mencapai tahap 90 peratus dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) melibatkan sokongan logistik, majlis perasmian, program pasangan delegasi dan persembahan kebudayaan.
“Kehadiran delegasi antarabangsa ini bukan sahaja penting daripada sudut keselamatan serantau, malah menjadi peluang besar untuk Melaka memperkenalkan budaya, hospitaliti dan destinasi pelancongan kepada dunia,” katanya.
Kerajaan Negeri yakin AMMTC Ke-19 bukan sekadar mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa, malah turut menyerlahkan Melaka sebagai destinasi mesyuarat dan pelancongan berkelas dunia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.