Sorting by

×

MELAKA TUBUH BOMBA KOMUNITI DI SEMUA PPR

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PAYA RUMPUT 13 Februari – Semua Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini akan mempunyai pasukan bomba komuniti sebagai inisiatif memperkukuh keselamatan dan memberi respons awal terhadap kebakaran.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kesemua
ahli bomba komuniti terbabit akan diberikan latihan asas bagi membolehkan mereka bertindak segera sementara menunggu ketibaan pasukan bomba dan penyelamat.

“Selepas PPR Krubong, kita sasarkan pada tahun ini semua PPR di Melaka akan menubuhkan pasukan bomba komuniti mereka.

“Bomba komuniti ini akan menjadi pihak terawal bertindak apabila berlakunya sesuatu insiden kebakaran malah mereka ini dilatih untuk menjadi ‘first responder’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Dan Ops Siaga Raya Peringkat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Melaka bersempena Karnival Demi Paya Rumput, di PPR Krubong, semalam.

Hadir sama, Timbalannya Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Pengarah JBPM Melaka, Mohd Zaidi Ma’at.

Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, selain bertindak dalam situasi kecemasan, bomba komuniti juga berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dalam memastikan kawasan perumahan, khususnya PPR sentiasa berada dalam keadaan selamat dan bebas daripada kegiatan vandalisme.

“Bomba komuniti ini akan jadi ‘mata dan telinga’ kepada kerajaan khususnya pasukan bomba dalam memastikan tiada aktiviti vandalisme membabitkan peralatan bomba seperti hos tidak dapat digunakan.

“Kita tidak mahu kejadian sama seperti sebelum ini berlaku apabila hos yang berada di bersebelahan unit rumah yang mengalami kebakaran tidak dapat digunakan akibat perbuatan vandalisme,” katanya.

Jelasnya, selain di PPR pihaknya juga berharap bomba komuniti dapat diperluaskan ke semua madrasah atau pusat tahfiz di negeri ini.

Terdahulu, pada majlis sama Rais turut mengumumkan peruntukan RM10,000 disumbangkan kepada JBPM Melaka sebagai penghargaan atas sumbangan bakti pasukan itu dalam memastikan keselamatan rakyat Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

395
Kongsi :
Previous post 7 ‘BLACK SPOT’ KEMALANGAN, 10 ‘HOTSPOT’ KESESAKAN DIKENAL PASTI DI MELAKA
Next post BIBIT KEMESRAAN KETUA MENTERI SANTUNI ORANG PAYA LUBOH