
MELAKA TUBUH ‘TASK FORCE’ PASTIKAN BEKALAN AIR MENCUKUPI
AYER LIMAU 4 April – Kerajaan Negeri menubuhkan pasukan khas (task force) bagi menangani isu kemerosotan paras air empangan sekali gus memastikan bekalan air kepada seluruh rakyat di negeri ini terus mencukupi.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, meskipun paras air di kesemua empangan di Melaka dilaporkan merosot tetapi setakat ini bekalan air kepada pengguna tidak terjejas.
“Kita telah mewujudkan pasukan ‘task force’ untuk menyelesaikan isu air serta mengenal pasti sumber air alternatif.
“Pasukan ‘task force’ ini dibahagikan kepada tiga pasukan yang setiap satunya terdiri daripada agensi-agensi berkaitan antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) serta Pejabat Daerah dan Tanah.
“Kesemua pasukan sedang bergerak untuk melihat kolam-kolam alternatif yang boleh membantu menyumbang air kepada loji-loji sedia ada sekali gus menyokong operasi dan bekalan kepada rakyat,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Jualan Taman Seri Serunai Alor Gajah yang turut dihadiri Naib Presiden ANGKASA Datuk Che Mohd Shukree Che Isa, di sini, hari ini.
Hameed yang juga pengerusi pasukan khas itu berkata, Kerajaan Negeri komited memastikan segala langkah proaktif diambil bagi mengelakkan sebarang gangguan bekalan air kepada pengguna.
“Kita jangkakan bermula minggu hadapan kesemua kolam-kolam alternatif ini dapat digerakkan untuk membekalkan air ke kawasan-kawasan loji.
“Selain itu juga pengambilan air dari Sungai Gersik, Muar masih diteruskan, di mana 50 peratus daripadanya disalurkan ke loji Merlimau,” katanya.
Jelas beliau, pemantauan berterusan akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan situasi bekalan air kekal terkawal dan mencukupi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


