Sorting by

×

MELAKA ‘TUMBANG’ LEBIH 5,000 LEMBU SEMPENA AIDILADHA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 Jun – Semangat pengorbanan dan kebersamaan jelas terpancar dalam sambutan Aidiladha di Melaka apabila lebih 5,000 ekor lembu dikorbankan di seluruh negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, angka itu dijangka terus meningkat menjelang hari terakhir ibadah korban yang akan berlangsung selama empat hari.

“Jumlah ini mencerminkan semangat tinggi umat Islam di Melaka dalam melaksanakan ibadah korban, selain keprihatinan mereka dalam berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

“Terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam menjayakan ibadah korban tahun ini, khususnya mereka yang menyumbang dan mengagihkan daging korban kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Korban Perdana Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025M/1446H yang dianjurkan dengan kerjasama Ez Qurban di Masjid Al-Azim, Bukit Palah, di sini, hari ini.

Img 20250607 132924 818
RAHMAD mengiringi Tun Dr. Mohd Ali menyampaikan daging korban kepada asnaf dan masyarakat pada Program Korban Perdana Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025M/1446H. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Terdahulu, program itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samat dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad.

Pada program itu sebanyak 25 ekor lembu sumbangan Ez Qurban telah dikorbankan, menjadikan ia antara lokasi korban berskala besar yang berlangsung hari ini.

Menurut Rahmad ibadah korban bukan sahaja menjadi simbol kepatuhan kepada perintah Allah SWT, malah berfungsi sebagai platform memperkukuh hubungan silaturahim.

“Semangat tolong-menolong dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan umur ini menjadi fokus utama kita khususnya di bulan yang mulia ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

730
Kongsi :
Previous post AIDILADHA SERLAH SEMANGAT KERJASAMA, PERKUKUH SILATURAHIM – KM
Next post MTD PROPERTIES PERKENAL DUA PROJEK BAHARU DI MELAKA