Sorting by

×

MELAKA-TURKIYE METERAI KERJASAMA STRATEGIK BANGUNKAN LIMBUNGAN KAPAL RM1.8 BILION DI SM-WEZ

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 7 Januari – Kerajaan Melaka memperkukuh kedudukan sebagai hab maritim serantau apabila memuktamadkan kerjasama strategik bagi membangunkan projek Enrique of Malacca Shipyard, sebuah limbungan kapal moden bernilai RM1.8 bilion.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, projek tersebut akan dibangunkan di Zon Ekonomi Persisiran Pantai Selat Melaka (SM-WEZ) dengan akses terus ke laluan perkapalan antarabangsa tersibuk dunia, iaitu Selat Melaka.

Jelas beliau, limbungan kapal itu diinspirasikan daripada nama tokoh pelayar Melayu terkenal iaitu Panglima Awang atau Enrique de Malacca, sekali gus menggabungkan warisan maritim dengan teknologi pembinaan kapal moden.

“Projek Enrique of Malacca Shipyard bukan sahaja memperkukuh keupayaan industri maritim negeri, malah mengangkat semula legasi maritim Melaka ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama teknologi dan kepakaran global,” kata beliau menerusi satu kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi dan Media Pejabat Ketua Menteri Melaka.

Terdahulu, Ab Rauf mengetuai lawatan rasmi ke Desan Shipyard, Istanbul bagi memuktamadkan kerjasama strategik membangunkan projek berkenaan.

Lawatan itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat dan Ketua Pegawai Eksekutif SM-WEZ Corporation Datuk Shamsul Ambia Abdul Aziz.

Kerajaan Negeri dijadual menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) pada 8 Januari 2026 di Istanbul.

Menurut Ketua Menteri, projek berkeluasan 23.3 ekar itu akan dilaksanakan melalui usaha sama di antara SM-WEZ Corporation sebagai agensi peneraju zon ekonomi khas tersebut dengan Henry The Black Shipyard Sdn. Bhd. selaku pemaju projek, serta kerjasama strategik bersama syarikat perkapalan terkemuka Türkiye, Desan Deniz, yang mempunyai pengalaman industri selama 47 tahun.

Menurut beliau, dengan tempoh pembinaan selama dua tahun, Enrique of Malacca Shipyard dijangka mula beroperasi pada 2028 dan berfungsi sebagai pemangkin utama pertumbuhan industri maritim di Selat Melaka dan rantau Asia Tenggara.

“Antara komponen utama projek ini adalah Pembinaan dan Pembaikan Kapal (SBSR); Perkhidmatan Marin; Kemudahan Fasiliti Fabrikasi dan Komponen Tarikan Pelancongan Maritim,” ujar beliau.

Untuk rekod, SM-WEZ merupakan zon ekonomi khas yang ditubuhkan di bawah Enakmen Perbadanan Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka 2021, meliputi pembangunan tambak laut seluas 9,000 ekar sepanjang 33 kilometer pesisir pantai Melaka.

Zon tersebut disasarkan untuk membangunkan Bandar Maritim Baharu (Future Maritime City) yang merangkumi pelabuhan, terminal kapal persiaran serta pembangunan komersial berimpak tinggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3479
Kongsi :
Previous post KERAJAAN MELAKA STABIL, TIADA KEPERLUAN DESAK DR. AKMAL LETAK JAWATAN
Next post PERZIM MODENKAN MUZIUM MELAKA DENGAN ‘AI CHATBOT ELYSSA’