Sorting by

×

MELAKA WAJIBKAN TAG HAIWAN TERNAKAN BERMULA 2026

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SERI NEGERI 5 Disember – Haiwan-haiwan ternakan di negeri ini diwajibkan untuk dipasang tagging bermula 2026, kata Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Menurut beliau, kewajipan itu akan dilakukan selepas pindaan Undang-Undang kecil Pelesenan Haiwan Ternakan bermula Januari 2026.

Dr. Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, menerusi ketetapan baharu itu, semua haiwan ternakan akan dipasang tagging, di mana ia bukan sekadar tagging biasa, sebaliknya bakal disertakan kod respon pantas (QR) bagi mengenal pasti pemiliknya.

“Dengan cara ini, apabila berlaku kemalangan membabitkan haiwan ternakan, pemilik haiwan ternakan itu tidak boleh terlepas dan boleh dikenal pasti.

“Sekiranya ada di antara penternakn atau pemilik haiwan tidak mematuhi peraturan tagging ini mereka boleh dikenakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Zaidi Attan (BN-Serkam) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata, ketetapan itu bagaimanapun akan dilakukan secara berfasa, di mana, pada peringkat awal, ia akan membabitkan haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau untuk diwajibkan tagging.

Selain itu, beliau berkata, di fasa awal juga, Kerajaan Negeri bercadang memberikan insentif kepada pemilik haiwan seperti menyediakan kos lebih murah atau menanggung kos tagging tersebut untuk tempoh tiga bulan pertama.

“Jika pemilik terlepas tempoh insentif ini, mereka perlu mengeluarkan kos sendiri untuk tagging, namun kos itu tidaklah terlalu membebankan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri juga bercadang untuk menggubal enakmen haiwan ternakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada sidang dewan yang akan datang, di manan ia boleh memberikan hukuman lebih berat kepada pemilik atau penternak sekiranya membiarkan haiwan ternakan mereka terlepas ke jalan raya dan menyebabkan kemalangan.

“Kita mahu mengambil tindakan tegas kerana jika berlaku kemalangan, mangsa itu mungkin ibu kepada seorang anak, bapa kepada seorang anak atau suami kepada seorang isteri,” ujar beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

216
Kongsi :
Previous post ‘DARIPADA DITIMANG HINGGA KE LIANG LAHAD’ DAPAT MANFAAT BAJET NEGERI MELAKA 2026
Next post MELAKA MAHU SEDIA JENGKAUT MINI SETIAP DUN, PERMUDAH URUSAN GALI KUBUR