Sorting by

×

MELAKA WUJUDKAN PUSAT PENGUMPULAN HASIL TANI DALAM PASAR TAHUN DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

JASIN 19 November – Pusat Pengumpulan Hasil Tani Dalam Pasar bakal diwujudkan di Melaka mulai tahun hadapan bagi membolehkan petani menjual terus hasil tanaman tanpa melalui orang tengah.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah itu akan dilaksanakan melalui kerjasama antara Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

“Inisiatif ini bagi menangani masalah petani yang sering berdepan harga tidak stabil apabila bergantung kepada orang tengah selain membendung aktiviti manipulasi harga.

“Kita akan tempatkan satu atau dua kios pengumpulan hasil pertanian di bawah pertubuhan peladang dalam pasar, petani tidak perlu lagi melalui orang tengah dan pengguna pula dapat membeli pada harga lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hari Ladang Peringkat Daerah Jasin Tahun 2025 di Projek Tanaman Jagung Manis Koperasi Komong Jasin Berhad di Kampung Rim, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar dan Pengarah Pertanian Negeri Melaka Rosli Azizi Talib.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata, pusat pengumpulan hasil tani di dalam pasar akan memudahkan orang ramai mendapatkan sayur-sayuran atau produk pertanian yang ditanam di Melaka secara terus.

“Empat PBT akan dikenal pasti bagi pelaksanaan fasa awal dengan tumpuan kepada pasar yang menjadi lokasi kunjungan utama masyarakat termasuk pasar borong.

“Kita tahu pasar-pasar ini sudah penuh, tetapi kita akan gunakan kuasa negeri untuk dapatkan satu atau dua slot.

“Mesyuarat bersama PBT akan diadakan dalam masa terdekat untuk mengenal pasti lokasi kios sebelum pelaksanaan bermula pada 2026,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

293
Kongsi :
Previous post AKSI TANGKAPAN BERSENJATA TULAR, POLIS MOHON ORANG RAMAI TIDAK PANIK
Next post MAIM BAIK PULIH DUA SURAU DI DUN KESIDANG