Sorting by

×

MELAKA ZAHIR KOMITMEN PERKASA WARISAN, BUDAYA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

SERKAM 7 Februari – Kerajaan Negeri komited memperkasa warisan dan budaya yang turut membantu pembentukan identiti serta perpaduan rakyat, sekali gus menjadi tunjang bagi pembangunan Melaka yang seimbang.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kejayaan sesebuah negeri bukan sekadar pada tingginya bangunan pencakar langit tetapi turut merangkumi teguhnya akar warisan dan jati diri rakya.

“Atas kesedaran inilah, Kerajaan Negeri terus komited untuk menyokong program seumpama ini, ia bukan sahaja untuk merancakkan sektor pelancongan tetapi bagi membina rasa bangga, memperteguh identiti serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan rakyat.

“Malah melalui Bajet Negeri Melaka 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM500,000 khusus bagi Program Memperkasa dan Merakyatkan Adat serta Budaya di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ia agar warisan ini bukan sekadar diraikan di pentas besar tetapi terus subur dan hidup dalam jiwa masyarakat,” kata.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Warisan Adat Temenggong Dan Adat Perpatih Mengikut Tradisi Jawa, di Kampung Paya Tanjung, di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan hadir sama Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan serta Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan produk pelancongan baharu termasuk di kawasan luar bandar berasaskan komuniti dan warisan setempat.

“Pendekatan ini bukan sahaja mampu memperkaya pengalaman pelancong tetapi turut membuka peluang ekonomi yang lebih inklusif kepada rakyat tempatan.

“Inisiatif ini seiring dengan aspirasi menjayakan Tahun Melawat Melaka 2026 yang menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan pelancongan negeri dan pengukuhan ekonomi rakyat,” katanya.

Jelas Ketua Menteri, Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerjasama dan sokongan masyarakat bagi memanfaatkan peluang ini sebaiknya dengan menjadi duta warisan negeri, memperkenal dan mempromosi keunikan warisan serta adat resam Melaka sebagai satu daripada ikon pelancongan bertaraf dunia.

Terdahulu, Karnival Warisan Adat Temenggong Dan Adat Perpatih Mengikut Tradisi Jawa, yang julung kali diadakan berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

343
Kongsi :
Previous post TIDAK BERTANGGUH RESEPI ABDULLAH ‘AZZAM PEROLEH MUMTAZ SUFI DALAM STAM 2025
Next post JADUAL PADAT TAK HALANG TOK RAOP SANTUNI ORANG TANJUNG BIDARA