Sorting by

×

‘MELGUV’ NAMA BAHARU JAMBU MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 29 Jun – Jambu Batu Lohan (GU16) kini dikenali dengan nama MelGuv atau ‘Melaka Guava’ iaitu satu penjenamaan baharu dalam usaha mengangkat martabat produk buah-buahan tempatan di negeri ini ke satu tahap lebih tinggi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penjenamaan semula nama tersebut dibuat selepas Kerajaan Negeri bersetuju mempatenkan buah jambu batu lohan sebagai ikon produk buah-buahan negeri ini, sekali gus menjadi simbol transformasi dan nilai tambah dalam sektor pertanian negeri.

Menurut beliau, MelGuv yang hanya terdapat di Melaka itu mempunyai tekstur rasa unik iaitu manis dan ranggup, selain berbeza dengan jambu batu lohan yang ditanam di tempat lain.

Tambahnya, setakat ini Melaka telah mengeluarkan sebanyak 1,139 tan metrik MelGuv di kawasan penanaman seluas 80 hektar di seluruh Melaka.

“Daripada jumlah itu, 1,000 tan metrik MelGuv ditanam di kebun berkeluasan 30 hektar di Pulau Gadong.

“Benih yang ditanam di negeri lain tidak berhasil. Hanya di Pulau Gadong sahaja buah ini boleh tumbuh dengan baik, jadi ia merupakan satu nikmat dan keistimewaan bagi Negeri Melaka.

“Justeru itu, secara rasminya kita melancarkan nama baharu buah ini sebagai MelGuv, singkatan kepada Melaka Guava,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Melaka AgroFest 2025 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

6271487744014404080
KETUA Menteri mengagihkan ‘MelGuv’ dan nanas secara percuma kepada pengunjung Melaka Agrofest 2025 di Dataran Sejarah Ayer Keroh. Foto Afiq Mustaffa

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, sepanjang tiga hari penganjuran Melaka Agrofest 2025, sebanyak 15,000 jambu MelGuv dan 800 nanas telah diagihkan kepada pengunjung secara percuma.

“Penganjuran kali ini juga menyaksikan satu kelainan apabila diadakan cabutan bertuah utama berupa seekor lembu sado, di mana seorang pengunjung bertuah telah membawa pulang anak lembu sado bernilai RM13,000,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

736
Kongsi :
Previous post SEKTOR PERTANIAN PENYUMBANG KETIGA TERBESAR KDNK MELAKA
Next post KETUA MENTERI ARAH SEMUA AGENSI GEMBLENG TENAGA BANTU MANGSA RIBUT DI MELAKA