Sorting by

×

MELSDEAF MOHON DANA BANTU 61 ATLET PEKAK BAKAL KE SOPMA, SARAWAK, OKTOBER DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 12 Mei – Seramai 61 atlet orang kurang upaya (OKU) daripada Persatuan Sukan Orang Pekak Melaka (MELSDEAF) akan menyertai temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) ke-22 di Kuching, Sarawak pada Oktober depan.

Presiden MELSDEAF Kamarzaman Harun berkata, Melaka menghantar atlet untuk lima acara iaitu badminton, futsal, olaraga, tenpin boling dan orienteering.

Katanya, MELDSDEAF mengharapkan bantuan kewangan bagi melancarkan persiapan latihan, sekali gus menyiapkan kontinjen OKU Pekak Melaka ke temasya sukan tersebut.

“Sebelum ini anak jadi Melaka yang merupakan atlet badminton kelahiran Klebang, Boon Wei Yin yang juga seorang atlet pekak bertaraf dunia berjaya mengharumkan nama negara selepas memangi pingat emas di Deaflympics Games, Brazil tahun 2022 menjadi bukti Melaka mampu melahirkan atlet pekak bertaraf dunia.

“Sukan orang pekak ini amat penting untuk dibangunkan supaya atlet pekak dapat berdiri sebaris dengan atlet sukan arus perdana dan sukan para.

“Kita harapkan Kerajaan Negeri dapat membantu atlet pekak Melaka menyiapkan diri dan mencapai hasrat membawa serta menjulang nama Melaka dalam bidang sukan ke peringkat tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama MELSDEAF 2025 di sebuah hotel di siniĀ  pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Leng Chau Yen serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Kamarzaman memaklumkan pihaknya memerlukan sejumlah RM203,725.20 sebagai persiapan kesemua atlet pekak ke temasya SOPMA Sarawak.

“Kos ini merangkumi latihan pusat dalam lima acara sukan sebanyak RM38,228 dan persiapan penghantaran kontinjen sebanyak RM165,497.20.

“Penglibatan ramai atlet pekak ini memerlukan kos yang besar dan kesemua mereka ini memerlukan latihan sepanjang masa dan konsisten demi mencapai kemenangan kelak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

980
Kongsi :
Previous post PERKASA IMEJ PROFESIONAL PEGAWAI MPHTJ
Next post TAHAP KESEDARAN USAHAWAN MELAKA DAFTAR MYIPO MENINGKAT