Sorting by

×

MEMARTABATKAN SENI WARISAN MELAYU, MANIFESTASI MENYATUKAN NUSANTARA

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR, 5 Julai – Seni dan budaya yang melangkaui sempadan bangsa mampu menjadi jambatan perpaduan serantau dan wahana diplomasi budaya yang berkesan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Menurut beliau, seni seperti Zapin bukan sekadar gerak tari, tetapi adalah warisan rohani dan citra jati diri masyarakat Melayu yang telah merentas benua dari Hadramaut ke bumi Nusantara.

“Walaupun seni ini telah melalui pelbagai fasa evolusi daripada Zapin Arab ke Zapin Pekajang dan keindahan Padang Sari; namun roh, nilai, dan adab budaya Melayu yang dibawanya kekal utuh.

“Seni Zapin bukan hanya menghubungkan kita dalam ikatan budaya, tetapi juga menyatukan kita sebagai bangsa serumpun,” katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Zapin sempena Rentak Bertandak Antarabangsa dan Sambutan Pra-Pelancaran Hari Pelancongan Sedunia 2025, di Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, hari ini.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; dan Timbalan Exco, Datuk Zaidi Attan.

Lebih 400 peserta dari seluruh negara termasuk dari Indonesia menyertai pertandingan yang menyaksikan persembahan penuh semangat, teknik tari yang memukau dan penjiwaan budaya yang mendalam.

“Penganjuran pertandingan ini bukan sekadar pentas persaingan, tetapi manifestasi komitmen Kerajaan Negeri untuk menjadikan Melaka sebagai anjung budaya bertaraf dunia. Kita mahu warisan ini terus hidup, disemai dalam generasi muda dan dihormati di peringkat antarabangsa,” ujar Ketua Menteri.

Pertandingan anjuran Institut Warisan Melaka (INSWA) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Melaka, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Bahagian Promosi Pelancongan Melaka ini dibahagikan kepada tiga kategori utama: Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Dewasa.

Pemenang bagi setiap kategori ialah Sekolah Rendah: Lantera Cilik dari Selangor. Kategori Sekolah Menengah pula dimenangi oleh Lantera Seni Remaja dari Selangor; manakala, Kategori Dewasa: Sanggar Batin Sembilan dari Bangkalis, Indonesia yang membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

345
Kongsi :
Previous post KAMPUNG DIGITAL: JANGAN BERLENGAH TUKAR ALAMAT KAD PENGENALAN
Next post MELAKA SUDAH SEDIA JADI TUAN RUMAH ACARA PELANCONGAN DUNIA