Sorting by

×

MENARA KUBAH MASJID KETIGA TERTINGGI ADA DI KAMPUNG PAYA RUMPUT

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

PAYA RUMPUT 3 Mac – Kampung Paya Rumput kini mempunyai satu lagi kebanggaan apabila memiliki sebuah menara kubah masjid ketiga tertinggi dalam Negeri Melaka.

Menara kubah itu dibina di Kompleks As Solihin yang juga menjadi mercu tanda baharu syiar Islam di negeri ini bagi menggantikan masjid lama yang sudah berusia 100 tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, menara berserta kubah itu berketinggian 32.5 meter, sekali gus berada di belakang Masjid Al-Azim dan Masjid Sayyidina Abu Bakar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang memiliki menara masjid tertinggi dan kedua tertinggi.

Beliau memaklumkan, menara masjid itu berjaya dibina hasil sumbangan penduduk kampung dan orang ramai, sekali gus membuktikan bahawa dengan penyatuan ummah, syiar Islam mampu disuburkan di sesuatu kawasan.

“Alhamdulillah, tahniah kepada seluruh jawatankuasa Masjid As Solihin kerana berjaya merealisasikan kompleks ini yang bakal menjadi satu mercu tanda baharu agama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah; Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB); Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang turut membantu merealisasikan pembinaan kompleks ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Upacara Menaikkan Kubah Menara Kompleks As Solihin, Kampung Paya Rumput, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan; Pengerusi Masjid As Solihin Datuk Wira Yasin Sarif serta lain-lain kenamaan.

6140670599324437916
UPACARA enaikkan Kubah Menara Kompleks As Solihin, Kampung Paya Rumput. Foto Afiq Mustaffa

Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, kompleks tiga tingkat itu bakal mempunyai pelbagai fungsi dalam mengimarahkan program-program kerohanian di Paya Rumput.

Katanya, selain boleh menempatkan 3,500 jemaah untuk solat Jumaat berkapasiti penuh, kompleks itu juga memiliki dewan dengan pendingin hawa yang boleh digunakan untuk pelbagai majlis.

“Pada masa sama, kita juga berhajat menempatkan Tadika JAIM di sini memandangkan di Kampung Paya Rumput belum pernah memiliki Tadika JAIM. Jadi permohonan ini telah kita angkat dan diharap ia akan diluluskan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

436
Kongsi :
Previous post PANTAI HOSPITAL MELAKA BERWAJAH BAHARU, RUANG AWAM DAN AKSES PESAKIT DITAMBAH BAIK
Next post MELAKA BAKAL MILIKI PAM BERGERAK TANGANI BANJIR TERMENUNG