Sorting by

×

MENARA TAMING SARI LEBIH SELAMAT, SELESA

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

SERI NEGERI 5 Februari – Menara Taming Sari terus komited memastikan keselamatan dan keselesaan pengunjung menerusi kerja naik taraf fasiliti yang diadakan secara tahunan.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad Nur Azan Hassan berkata, pada tahun ini terdapat dua kerja naik taraf utama telah dilakukan iaitu penukaran ‘wire rope’ iaitu kabel yang berfungsi untuk mengangkat kabin hingga ke ketinggian 80 meter, selain turut menukar pendingin hawa bagi keselesaan pengunjung.

Jelas beliau, kerja naik taraf itu telah selesai dilakukan dalam tempoh tiga minggu bermula 12 Januari lalu dan menara ikonik itu kini kembali beroperasi seperti biasa bermula 3 Februari.

“Alhamdulillah, kerja-kerja naik taraf ini selesai dalam tempoh tiga minggu dan sempena pembukaan kita telah menawarkan 18 tiket percuma untuk pengunjung terawal sempena 18 tahun menara ini beroperasi dan menjadi kebanggaan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Program Hari Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bertemu Rakyat (HEBAT) Siri 1/2026 di Kompleks Seri Negeri, di sini, semalam.

Untuk rekod, Menara Taming Sari dibuka setiap hari pada jam 9 pagi hingga 10 malam (Isnin-Jumaat) dan 9 pagi hingga 11 malam (hujung minggu dan cuti umum).

Menara itu juga turut menyertai inisiatif Melaka Bila Larut Malam pada Sabtu minggu pertama setiap bulan, di mana ia beroperasi sehingga jam 2 pagi dan menawarkan harga tiket istimewa RM10 sahaja.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

336
Kongsi :
Previous post TOK AJAK AGIH 3,000 KAMPIT BERAS UNTUK WARGA TELOK MAS
Next post HEBAT: CAKNA PERMASALAHAN RAKYAT SECARA MENYELURUH