Sorting by

×

MENARA TAMING SARI MENJADI TUMPUAN PENGUNJUNG NIKMATI SUASANA MALAM

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 7 September – Suasana Melaka Bila Larut Malam di produk ikonik pelancongan Melaka, Menara Taming Sari meriah apabila dipenuhi pengunjung.

Seawal jam 10 malam, pengunjung sudah menunggu bagi membeli tiket MBLM dengan tawaran harga serendah RM10.

Inisiatif Kerajaan Negeri itu turut memberi penjimatan lebih lumayan apabila dengan empat pembelian tiket pengunjung akan menerima satu tiket percuma.

Bagi pengunjung Hafizuddin Saharudin, 36, berkata, meskipun tawaran harga RM10 hanya bermula pada jam 11 malam, itu tidak menjadi halangan untuk dia dan keluarga merebut peluang itu.

Katanya, harga ditawarkan itu amat berpatutan malah dapat membantu pengunjung berjimat sambil menikmati pemandangan Melaka pada waktu malam.

“Sebagai pelancong luar saya menyambut baik inisiatif dibuat oleh Kerajaan Negeri Melaka dan ini secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pelancong ke Melaka.

“Dengan harga RM10 bagi saya amat memadai malah ia memberi peluang kepada pelancong untuk melawat ke banyak lokasi pelancong lain,” katanya ketika ditemui di Menara Taming Sari.

Bagi seorang lagi pelancong dari Karimun, Indonesia, Surya Hadi Dolok Putra Siagian, 37, berkata, pengalaman melancong ke Melaka memberi pengalaman menarik apabila mempunyai banyak lokasi pelancongan menarik termasuk tempat bersejarah.

“Apabila ada program sebegini ia memberikan pengalaman baru untuk pelancong berkunjung ke tempat pelancongan pada waktu malam dengan suasana yang pastinya berbeza.

“Menara Taming Sari ini antara tempat yang ingin saya dikunjungi apabila datang ke Malaysia dan hajat itu tercapai malah lebih menarik kami ditawarkan dengan harga tiket berpatutan,” katanya yang datang bersama kumpulan rombongan.

Selain Menara Taming Sari, antara produk pelancongan lain yang tersenarai dalam inisiatif Melaka Bila Larut Malam adalah Melaka River Cruise, muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Zoo Melaka dan Muzium Penjara Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1293
Kongsi :
Previous post POLIS TUMPAS SINDIKET AKAUN KELDAI, TIGA DITAHAN
Next post MELAKA TUAN RUMAH AMMTC KE-19, HIMPUN 300 DELEGASI ASEAN