
MENARA TAMING SARI TERUSKAN TRADISI BUBUR LAMBUK
BANDA HILIR 16 Februari – Produk pelancongan ikonik Melaka, Menara Taming Sari meneruskan tradisi mengacau dan mengedar bubur lambuk kepada orang ramai sepanjang Ramadan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hasan berkata, program itu bakal diadakan pada setiap Jumaat, di mana edaran bubur lambuk akan di buat di sekitar hadapan Menara Taming Sari.
“Sama seperti tahun-tahun sebelum ini, kita akan bersama pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam program bubur lambuk pada setiap Jumaat.
“Ini merupakan antara cara Menara Taming Sari menghidupkan bulan mulia Ramadan dengan pengisian yang memberi manfaat kepada komuniti sekitar, khususnya umat Islam,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Nur Azan, selain bubur lambuk, pihaknya juga akan merangka pelbagai program berkonsep kerohanian dengan kerjasama pelbagai NGO di menara setinggi 80 meter dan berputar 360 darjah itu.
“Program-program ini akan kita hebahkan di platform media sosial Menara Taming Sari. Semoga program yang dirangka membawa keberkatan kepada kita semua sepanjang Ramadan ini,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


