
MENARA TELEKOMUNIKASI KAMPUNG JUS PERMAI BERI MANFAAT LEBIH 500 PENDUDUK, TERMASUK PELAJAR IPT
ASAHAN 8 Januari – Pembinaan menara telekomunikasi di Kampung Jus Permai, di sini, amat penting kerana ia dapat meningkatkan liputan telekomunikasi dan capaian internet kepada penduduk setempat.
Sebelum ini, masyarakat di kawasan tersebut termasuk pelajar di beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) berdepan dilema berkaitan capaian internet berikutan ketiadaan infrastruktur telekomunikasi yang lengkap.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, menara telekomunikasi tersebut bakal memberi manfaat kepada lebih 500 penduduk melibatkan radius kawasan sejauh 1.5 kilometer.
Jelas beliau, pembinaan menara telekomunikasi itu merupakan inisiatif di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi merapatkan jurang digital di antara masyarakat bandar dan luar bandar.
“Jadi, pembinaan menara ini akan memberi banyak kemudahan kepada masyarakat, termasuk juga pelajar IPT dari Kolej Komuniti dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di kawasan ini.
“Tidak hanya itu, jalan-jalan menuju ke Empangan Jus yang sebelum ini sering berlaku gangguan telekomunikasi juga akan bertambah baik dengan pembinaan menara ini.
“Saya yakin penduduk di Jus Permai ini dapat memahami kepentingan menara yang sedang dibina ini memandangkan manfaatnya amat besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Sesi Libat Urus Kedua Pembinaan Struktur Telekomunikasi di Kampung Jus Permai yang diadakan di Surau An-Nur Kampung Jus Permai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) Dr. Nazdiana Ab Wahab; Ketua Pegawai Operasi MICTH Mohd Jailani Deraman; Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Negeri Melaka Syed Isa Syed Shekh Alsagoff; Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Melaka Sr. Shaharun Kassim; Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik dan Kompiter Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Madya Dr. Imran Ibrahim serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan memaklumkan, menerusi sesi libat urus itu pihaknya berlapang dada mendengar segala pandangan yang dilontarkan penduduk, termasuk menerima memorandum oleh salah seorang wakil yang membantah pembinaan infrastruktur itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, segala penerangan telah diberikan daripada pelbagai wakil agensi yang hadir yang mengesahkan pembinaan menara itu tidak memberi kesan kepada kehidupan seharian masyarakat.
Malah, ujar beliau, pembinaan infrastruktur tersebut juga mengikut spesifikasi ditetapkan, selain tidak melanggar apa-apa syarat daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).
“Saya juga telah menjelaskan di peringkat awal lagi bahawa urusan teknikal dan kelulusan permit semua mengikut syarat ditetapkan, malah sebaik menerima aduan penduduk, MICTH telah mengalihkan pembinaan menara ini 70 meter daripada rumah terdekat penduduk dan ia memang mengikut spesifikasi ditetapkan,” katanya.
Tambah beliau, apabila dimulakan semula kelak, pembinaan menara telekomunikasi itu dijangka mengambil masa dua bulan untuk disiapkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


