
MENDAPAN JALAN KUALA LINGGI KE UNIMEL AKAN DISELENGGARA SEGERA
SERI NEGERI 9 Disember – Jalan mendap di ban sungai Parit Besar Kuala Linggi dari Kuala Sungai Baru ke Universiti Islam Melaka (UNIMEL) sejauh tiga kilometer (km) akan diselenggara bermula bulan hadapan.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, projek dianggarkan melibatkan kos sebanyak RM200,000.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri telah menyenaraikan permohonan peruntukan bagi tujuan pembaikan dan penyelenggaraan.
“Peruntukan itu akan digunakan bagi pembaikan jalan-jalan yang mengalami kerosakan kritikal dan sangat berisiko kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Rosli Abdullah (BN- Kuala Linggi) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hameed berkata jalan ban sungai tersebut pada mulanya dibuka sebagai laluan alternatif, namun kini menjadi pilihan Utama penduduk sekitar termasuk warga UNIMEL.
Jelasnya, jalan tersebut telah diselenggara menggunakan peruntukan pemimpin kawasan pada 2024 dan JPS telah melaksanakan sebahagian daripada kerja-kerja pembaikan jalan mendap dengan kos RM50,000.
“Jalan ban sungai ini telah menjadi laluan utama bagi kegunaan pelajar dan masyarakat sekitar yang menggunakan laluan tersebut dan isu penyelenggaraan di laluan ini dipandang serius,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


