Sorting by

×

MENGAPA RAMAI PESAKIT BUAH PINGGANG LEWAT DIKESAN?

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

Oleh: Dr. Lim Li Han
Pakar Perubatan Dalaman & Nefrologi
Oriental Melaka Straits Medical Centre

Mugshot doktor

TAHUKAH anda? Ramai orang hanya menyedari mereka menghidap masalah buah pinggang apabila penyakit sudah berada di peringkat serius.

Di Malaysia, dianggarkan 1 daripada 7 orang dewasa dipercayai menghidap penyakit buah pinggang kronik (CKD). Setiap tahun, melebihi 9,500 kes baharu memerlukan rawatan dialysis direkodkan. Statistik juga menunjukkan melebihi 40,000 pesakit kini sedang menjalani rawatan dialisis dan angka ini dijangka meningkat ke 106,000 menjelang tahun 2040.

Apa yang lebih membimbangkan ialah 30% daripada pesakit baharu ini terdiri daripada golongan muda berusia bawah 45 tahun.

Penyakit ini sering tidak dikesan pada peringkat awal kerana buah pinggang berupaya berfungsi tanpa menimbulkan sebarang tanda penyakit yang ketara sehingga sampai ke peringkat akhir.

PUNCA DAN FAKTOR PENYUMBANG

1. Tiada gejala awal yang ketara

Pada peringkat awal, fungsi buah pinggang merosot secara perlahan-lahan tanpa disedari. Ramai yang masih berasa seolah-olah sihat tanpa sebarang tanda penyakit. Mereka tidak mengalami sebarang sakit belakang atau mengatakan kencing mereka berdarah. Apabila gejala seperti kaki bengkak, cepat letih, atau kencing berbuih mula muncul, penyakit selalunya sudah berada di tahap serius.

2. Kurang kesedaran tentang pemeriksaan buah pinggang

Ramai hanya memerhatikan bacaan tekanan darah dan aras gula dalam darah, tetapi jarang menjalani ujian saringan fungsi buah pinggang atau ujian air kencing.

Sebenarnya, ujian-ujian ini murah dan mudah dilakukan secara pesakit luar. Ujian-ujian ini dapat mengesan kerosakan awal sebelum terlambat.

3. Faktor risiko tidak dikawal dengan baik

Penyakit tiga serangkai – darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi merupakan punca utama kerosakan buah pinggang. Jika tidak dikawal dengan betul, penyakit ini boleh merosakkan buah pinggang dalam jangka masa panjang.

4. Pengambilan ubat atau suplemen tanpa preskripsi doktor

Sesetengah ubat tahan sakit atau suplemen herba boleh membebankan buah pinggang, terutamanya jika diambil secara berpanjangan atau tanpa preskripsi dan pengawasan doktor.

APA YANG BOLEH KITA LAKUKAN

– Jalankan pemeriksaan fungsi buah pinggang secara berkala mengikut nasihat doktor, terutamanya jika anda menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis atau mempunyai sejarah keluarga penyakit buah pinggang.

– Minum air secukupnya dan pastikan tekanan darah serta aras gula dalam darah sentiasa berada dalam julat yang normal.

– Elakkan pengambilan ubat atau suplemen tanpa rujukan doktor.

– Segera dapatkan konsultasi doktor jika anda mengalami tanda-tanda seperti kencing berbuih, bengkak atau mudah letih.

KESIMPULAN

Penyakit buah pinggang boleh dicegah dan dikawal jika dikesan awal. Jangan tunggu sehingga gejala muncul baru mahu bertindak.

Pemeriksaan awal bukan sahaja boleh mengembalikan fungsi buah pinggang anda, malah boleh menyelamatkan nyawa anda.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

155
Kongsi :
Previous post PBT MELAKA RANCAKKAN TAHUN MELAWAT MELAKA 2.0
Next post PENDAFTARAN MURID TAHUN SATU MELAKA 2026 MENINGKAT 3.5 PERATUS