Sorting by

×

MENGHIDUPKAN SEMULA WARISAN YANG PUDAR

Masa Membaca:3 Minit, 2 Saat

ASAHAN 9 Oktober – Hampir setiap masa, mata lelaki separuh abad ini tidak lepas daripada memerhatikan setiap inci kayu ditangannya agar dipotong dan digosok mengikut bentuk yang dimahukan bagi menghasilkan sarung serta hulu senjata berkualiti.

Kamaruzaman Tambi, 52, berkata, menghasilkan sarung dan hulu senjata seperti parang, keris serta pisau memerlukan ketelitian tinggi berikutan itu prosesnya mengambil masa yang panjang.

Bekas mekanik ini berkata, bukan sahaja menjamin kepuasan hati pelanggan sebaliknya dia berharap apa dilakukan sejak enam tahun lalu akan memartabatkan kembali seni membuat sarung dan hulu senjata Melayu yang kini semakin hilang ditelan zaman akibat kurangnya minat golongan muda untuk aktif dalam bidang itu.

6282830366099835804
HULU parang yang dihasilkan Kamaruzaman. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Dia menumpukan sepenuhnya masa sebagai tukang sarung dan hulu senjata selepas mengambil keputusan untuk berhenti daripada mengusahakan bengkel membaiki kenderaan lalu pulang ke kampung di Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh, Asahan pada 2019.

“Kemahiran ada pada diri saya adalah hasil daripada perkongsian ilmu dengan tukang lain sekitar Melaka, Kedah, Perak, Johor dan Thailand. Selepas pulang ke kampung saya memulakan perusahaan ini di bengkel terletak di perkarangan rumah.

“Bebaloi, puas dan amat gembira apabila melihat sekeping besi berkarat tanpa hulu dan sarung yang sempurna kelihatan baru. Pada kebiasaan tempahan diterima adalah untuk memberikan wajah baharu atau ‘restore’ semula parang. Keutamaan saya adalah menghasilkan sarung dan hulu, jika senjata diterima dalam keadaan amat usang saya akan mendapatkan bantuan tukang lain untuk membaikinya.

“Sarung dan hulu sarung dibentuk semula menggunakan kayu jenis serian, nangka dan pelbagai lagi, sementara itu parang sudah berkarat diasah atau dicanai agar kembali berkilat. Semua proses ini memakan masa dua hingga ke tiga hari,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di kediamannya.

6282830366099835823
KAMARUZAMAN menunjukkan senjata dengan hulu dan sarung yang baharu Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Kamaruzaman berkata, setiap sarung dan hulu memiliki ciri-ciri tersendiri yang menggambarkan identiti tukang atau negeri di Semenanjung Malaysia.

“Bagi saya setiap sarung mesti ada lubang khusus untuk tali bagi memudahkan diikat di pinggang dan ciri khusus bagi memudahkan ditarik atau dimasukkan, pemegang pula diraut agar genggaman tidak mudah terlepas serta selesa dipegang.

“Selain itu saya ada teknik sendiri untuk menjadikan sarung dan hulu dihasilkan berkilat hingga mampu menarik setiap mata yang memandang. Kerana tidak mahir mengukir saya memilih kayu dengan alur yang unik, alhamdulillah pelanggan berpuas hati,” katanya.

6282830366099835796
PROSES menghasilkan sarung parang yang memerlukan ketelitian. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Berkongsi minatnya Kamaruzaman berkata, selain senjata dia turut menghasilkan hulu untuk tongkat dan pedang lama.

Menurutnya, sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) aktiviti pembuatan hulu dan sarung senjata menjadi sumber pendapatan utamanya bagi menyara keluarga.

Malah kini Kamaruzaman menerima tempahan pelanggan dari hampir seluruh pelusuk Semenanjung Malaysia yang berpuas hati dengan hasil kerjanya.

“Jika tidak datang ke rumah, pelanggan akan hantar parang mereka menggukan perkhidmatan kurier, itu tidak menjadi masalah bagi saya. Meskipun senjata diterima dalam keadaan berkarat saya tetap terima kerana barang itu mungkin besar nilainya bagi pemilik asal.

“Mungkin senjata itu adalah warisan keluarga, akibat tidak dijaga dengan baik ia berkarat, tetapi apabila tahu ada tukang boleh memberikan wajah baharu kepada senjata berkenaan ramai yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan saya,” katanya.

Selain cabaran untuk mendapatkan bekalan kayu berkualiti perkara paling merisaukan Kamaruzaman adalah pelapis baharu yang berminat untuk mewarisi kemahiran itu.

“Ada yang minat dan datang untuk belajar tetapi cuma beberapa orang sahaja, bagi saya lebih ramai itu amat bagus. Saya dan tukang lain tidak lokek ilmu dan sedia berkongsi kemahiran ini dengan golongan muda,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

405
Kongsi :
Previous post PERMAINAN TRADISIONAL WARNAI HARI SUKAN NEGARA PERINGKAT NEGERI MELAKA 2025
Next post PEMILIK KENDERAAN 4X4 BERTULISAN HEBREW DAKWA PEMINAT TULISAN ANTARABANGSA