
MENGKUANG MELAKA, ANYAMAN WANITA TANJUNG BIDARA
TANJUNG BIDARA 20 September – Kesungguhan Mohd Said Harun untuk ‘menghidupkan’ semula aktiviti menganyam tikar mengkuang bukan lagi sekadar angan-angan, sebaliknya kini hampir menjadi kenyataan.
Sejak lebih dua tahun lalu dia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Padang Kemunting berusaha menghidupkan aktiviti kesenian itu menjadi satu perusahaan bukan sahaja bertujuan membawa pulangan dalam bentuk ekonomi, sebaliknya menggilap semula warisan lama yang kian pudar.
Mohd Said berkata, perkara pertama bermain dalam fikirannya adalah cara untuk mendapatkan bekalan daun mengkuang yang kini semakin sukar diperolehi berikutan jumlah pokoknya yang menyusut secara mendadak.

“Saya bernasib baik kerana akhirnya jumpa satu lokasi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara yang masih ada banyak pokok mengkuang, kebetulan ia adalah tanah milik keluarga abang sepupu, alhamdulillah selesai satu masalah. Tetapi ada cabaran lebih besar iaitu mencari tenaga pengajar mahir untuk melatih peserta dalam kalangan wanita di kampung untuk menganyam tikar mengkuang.
“Syukur perjuangan saya mendapat perhatian Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) Negeri Melaka yang membawa tenaga pengajar profesional dari Terengganu untuk melatih wanita kampung ini mengenai teknik menyediakan daun, mewarna dan seterusnya menganyam tikar mengkuang hingga menghasilkan produk tempatan berkualiti tinggi.
“Kursus berlangsung dari 8 hingga 11 September lalu mendapat sambutan amat menggalakkan, pada akhir program mereka sudah mahir mengenai teknik anyaman, jika mahu hasil lebih berkualiti ia bergantung kepada kreativiti dan ketekunan masing-masing,” katanya.

Malah dia semakin bersemangat untuk menghidupkan semula seni warisan itu selepas menonton dokumentari mengenai perusahaan menganyam tikar mengkuang di sebuah negeri di kepulauan Borneo.
Paling menarik perhatian Mohd Said adalah, pengusahanya mampu meraih pendapatan hingga puluhan ribu ringgit setiap bulan jika rajin dan produk dihasilkan berkualiti.
“Ini satu peluang keemasan, bukan untuk saya tetapi kaum ibu di kampung. Bekalan bahan mentah sudah ada sekarang perlu gilap kemahiran menganyam pula.
“Selain itu inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memperkenalkan Beras Melaka sebagai antara usaha meningkatkan lagi tahap keterjaminan makanan di negeri ini memberikan rakan saya satu idea untuk menjenamakan produk bakal dihasilkan nanti sebagai Mengkuang Melaka
“Molek rasanya jika produk kaum ibu DUN Tanjung Bidara kita pasarkan menggunakan jenama Mengkuang Melaka, secara tidak langsung menyemarakkan lagi sektor pelancongan tempatan,” katanya.

Bercerita mengenai prospek pulangan pelaburan pula Mohd Said berkata, jika benar-benar mahir dan menepati kehendak pelanggan individu aktif dalam aktiviti itu mampu memperoleh pulangan lumayan.
“Saya turut membuat carian mengenai harga semasa produk mengkuang di beberapa platform beli-belah dalam talian. Agak terkejut apabila ia dijual pada harga serendah RM700 bergantung kepada corak, kekemasan dan saiz.
“Jadi apa yang dikatakan benar jika malas boleh dapat sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan tetapi jika rajin boleh naik berganda kepada puluhan ribu ringgit sebulan.
“Selain mahu melihat seni anyaman tikar mengkuang hidup semula ini adalah antara usaha saya membantu kaum ibu di kampung ini menjana pendapatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.