Sorting by

×

MERIAH LAIN MACAM DI KAMPUNG PULAU

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

TANJUNG BIDARA 14 Jun – Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) bersama Komuniti Negeri Melaka di Villa d’Acqua Kampung Pulau, di sini, mencetuskan fenomena tersendiri.

Ia apabila dianggarkan lebih 10,000 penduduk setempat dan masyarakat berbilang kaum hadir bagi memeriahkan pelbagai acara yang diadakan bermula seawal jam 7 pagi tadi.

Program tersebut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, wakil Menteri Sumber Manusia Dr. Kelvin Yii Lee Wuen; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem dan Timbalannya Siti Faizah Abdul Azis; Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja JHEKS Mohd Asri Abdul Wahab; Timbalan Presiden II, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) Azman Shah Abdul Rahman; Pengarah JHEKS Melaka dan Negeri Sembilan Hafizah Nabilah Mohd Idris serta lain-lain kenamaan.

Img 20250614 wa0053
AB Rauf menyantuni si cilik pada program berkenaan. Foto Aduka Buana / Pejabat Ketua Menteri

Antara acara yang paling mendapat sambutan adalah Riverside Fun Walk Tanjung Bidara yang disertai kira-kira 1,000 peserta, di mana ia membawa peserta meneroka keindahan suasana desa yang dikelilingi kehijauan di sekitar Kampung Pulau.

Selain itu, pertandingan memancing yang bermula pada jam 8 pagi juga tidak kurang hebatnya apabila disertai hampir 100 peserta pelbagai lapisan umur.

Img 20250614 wa0023
AB Rauf bergambar bersama peserta pertandingan memancing yang berjaya menaikkan tangkapan sempena Program CSR JHEKS Bersama Komuniti Negeri Melaka. Foto Aduka Buana / Pejabat Ketua Menteri

Malah, pelbagai pengisian lain turut disajikan, antaranya pertandingan Sukan Rakyat seperti konda kondi dan dam aji; pertandingan e-sport; gunting rambut percuma; tukar minyak hitam motosikal percuma; topi keledar percuma dan kenduri rakyat.

Img 20250614 wa0027
PERMAINAN konda kondi turut menghangatkan program tersebut. Foto Aduka Buana / Pejabat Ketua Menteri

Pada masa sama, turut diadakan Jualan Rahmah selain pelbagai pameran agensi dan jabatan kerajaan seperti pemeriksaan kesihatan, klinik pergigian bergerak, kaunter bayaran saman trafik serta kaunter cukai taksiran.

Malah, bertepatan dengan program CSR, turut diadakan penyampaian sumbangan Kembali Ke Sekolah Peringkat DUN Tanjung Bidara kepada 150 penerima melibatkan peruntukan berjumlah RM22,500 oleh Japerun Tanjung Bidara.

Selain itu, JHEKS turut menyampaikan replika cek berjumlah RM359,998 berupa bantuan geran yang telah diluluskan kepada 21 kesatuan sekerja di Melaka.

Ketua Menteri pada sidang media selepas merasmikan majlis itu menyifatkan program CSR yang diadakan itu membawa makna cukup besar bukan sahaja kepada golongan pekerja, malahan komuniti setempat.

Kata beliau, program itu juga mencerminkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat di bawah konsep Malaysia MADANI.

“Pelbagai acara yang disediakan juga mampu mengeratkan ukhwah, di sampinh menjadi satu medan interaksi terbaik untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1462
Kongsi :
Previous post BELA NASIB PEKERJA DI MELAKA
Next post TARIK MINAT SI CILIK KUASAI TULISAN JAWI