Sorting by

×

‘MERIAHNYA RAYA!’ WARNAI MELAKA BILA LARUT MALAM EDISI APRIL

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

AYER KEROH 3 April – Program Melaka Bila Larut Malam Edisi April 2026 bertemakan ‘Meriahnya Raya!’ bakal memeriahkan lagi suasana malam di perkarangan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir pada 4 April ini.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan negeri (BPP) Nasrul Ahmad berkata, program kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri itu akan menampilkan pelbagai persembahan menarik buat pengunjung.

“Pelbagai pengisian menarik disusun termasuk persembahan lagu raya oleh Kombo MBMB, nyanyian Raya Akustik serta tarian bertemakan Aidilfitri.

“Turut menampilkan sketsa Hari Raya dan sesi interaktif bersama pelancong serta pengunjung bagi mewujudkan suasana lebih santai dan mesra,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Nasrul berkata beberapa produk pelancongan utama negeri ini turut menawarkan kemasukan pada harga istimewa sepanjang program berlangsung.

“Antaranya Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Zoo Melaka serta muzium di bawah Perbadanan Muzium Negeri Melaka (PERZIM) yang masing-masing menawarkan tiket serendah RM10.

“Turut terlibat ialah Muzium Penjara Malaysia Melaka, Malaysia Heritage Studios dengan tiket RM12, Kompleks Ayer Panas Gadek, Air Panas Cherana Putih serta Panggung Bangsawan.

“Inisiatif ini diteruskan bagi merancakkan kembali sektor pelancongan negeri khususnya mempromosikan pelancongan malam di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

364
Kongsi :
Previous post 20,700 SAMBUT AIDILFITRI DENGAN MELAKA RIVER CRUISE
Next post JAIM TIDAK KOMPROMI PEMATUHAN  STANDARD HALAL