
MeSRa: MELAKA SENTIASA SAYANG ASNAF
TANJUNG BIDARA 16 Mac – Selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) kebajikan semua golongan terutama asnaf sentiasa diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri yang diterajui Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, setakat ini Kerajaan Negeri sudah menyantuni lebih 26,000 asnaf fakir, miskin dan mualaf dengan sumbangan bantuan peruntukan hampir RM15 juta.
Jelas Ketua Menteri pemerkasaan ummah turut diberikan perhatian dan khusus bagi Parlimen Masjid Tanah sahaja sebanyak RM543,100 telah diperuntukkan kepada 38 buah masjid dan 134 surau kariah.
“Peruntukan ini juga merupakan tanda penghargaan kepada penggerak agama di akar umbi, termasuk sumbangan one-off kepada 646 orang AJK (Ahli Jawatankuasa) masjid, 69 orang pengurus jenazah wanita dan 72 orang penggali kubur.
“Bukan itu sahaja, melalui pejabat saya juga telah memperuntukkan sebanyak RM109,000 untuk manfaat 1,090 ORANG penerima di keenam-enam parlimen, khususnya kepada golongan asnaf, orang kurang upaya (OKU), mualaf, anak-anak yatim serta ibu atau bapa tunggal,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Bantuan Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama YAB Ketua Menteri Peringkat Parlimen Masjid Tanah di Masjid Sultan Ibrahim, Air Hitam Pantai, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama EXxco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Adun Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Yang turut hadir Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Adun Kuala Linggi, Datuk Rosli bin Abdullah serta Pegawai Daerah Alor Gajah, Datuk Sabrina Thalas.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata daripada jumlah tersebut, seramai 400 warga Masjid Tanah menerima sumbangan tunai berjumlah RM40,000 secara keseluruhan pada Majlis berkenaan.
“Sumbangan termasuk kit makanan ini adalah sebagai tanda keprihatinan Kerajaan Negeri Melaka kepada golongan kurang berkemampuan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


